KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
16 April 2020
SIDANG KHAS PARLIMEN BERKENAAN COVID-19 PERLU DIPANGGIL SEGERA
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat hari ini secara dalam talian dan
membincangkan pertemuan Presiden KEADILAN, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Majlis Presiden telah dimaklumkan bahawa di dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Anwar telah membincangkan penularan wabak COVID-19 dan keperluan mengadakan sidang Parlimen khas untuk membincangkan langkah-langkah yang diambil termasuk belanjawan tambahan Kerajaan dalam menangani penularan wabak ini.
Majlis Presiden berpendirian bahawa sidang Parlimen khas berkenaan COVID-19 wajar dan perlu diadakan sebelum tarikh 18 Mei 2020 yang diumum sebelum ini. Ini kerana proses semak dan imbang yang merupakan tiang seri demokrasi amat diperlukan, termasuk sewaktu kita memerangi COVID-19.
Sekiranya Kerajaan enggan mengadakan sidang Parlimen khas, Majlis Presiden berpandangan sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat membahaskan isu-isu berkait wabak ini.
Majlis Presiden berpandangan bahawa Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu bertemu segera untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyesuaikan Peraturan-Peraturan Mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan dalam menjaga keselamatan ahli-ahli mesyuarat serta para petugas di Parlimen, termasuk dengan mempertimbang kesesuaian mengadakan sidang Dewan secara dalam talian seperti yang diusahakan di beberapa negara lain.
Oleh itu, kami turut mencadangkan agar satu pertemuan diadakan di antara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, wakil Kerajaan dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara
(AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)