30 negara telah buat pilihanraya waktu Covid-19, Zahid mahu PRU diadakan segera

30 negara telah buat pilihanraya waktu Covid-19, Zahid mahu PRU diadakan segera

UMNO terus bertegas mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) disegerakan kerana mendakwa kerajaan yang ada sekarang sangat rapuh sehingga membimbangkan pelabur untuk datang ke negara ini.

Akur bahawa penularan COVID-19 perlu dielakkan, parti itu yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) jika PRU diadakan dalam waktu terdekat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini lebih 30 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, telah mengadakan pilihan raya umum ketika mereka berdepan penularan COVID-19.

“Kita tahu Amerika Syarikat terkesan daripada COVID-19 dengan begitu teruk, bukan hanya jumlah kematian, tetapi jumlah jangkitan yang besar. Namun mereka terus mengadakan pilihan raya dengan SOP yang mereka telah tetapkan dan saya fikir tentu SPR juga telah menetapkan SOP jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

“Kenapa pilihan raya harus diadakan? Kerana kita tahu bahawa kerajaan yang ada sekarang ni sebenarnya satu kerajaan yang sangat rapuh. Dengan bukti di Dewan Rakyat apabila pengundian bacaan kali ketiga Belanjawan kerajaan sekarang hanya memperolehi 111 undi,” kata Ahmad Zahid.

Beliau ditemui selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Ahad.

Menurutnya, UMNO bimbang dengan hanya majoriti satu undi itu, pelabur asing tidak mahu melabur di negara ini.

Malah, dakwanya, terdapat pelabur yang telah memindahkan pelaburan mereka ke negara-negara lain yang lebih stabil.

Ahmad Zahid berkata, oleh kerana kerajaan yang ada sekarang tidak stabil, kerajaan mesti menyerahkannya semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-mahu-pru15-disegerakan-zahid-275842