31 tahun kahwin, nenek terpaksa layan batin suami walau dah hilang rasa

Oleh NADIA HARON

Perasaan tawar hati terhadap pasangan adalah antara cabaran yang paling ditakuti dalam perhubungan, terutama apabila usia perkahwinan sudah menjangkau puluhan tahun.

Seorang wanita, 55 tahun, yang telah berkahwin selama 31 tahun meluahkan rasa kecewanya apabila kebahagiaan sebenar masih sukar dicapai.

Meskipun perkahwinannya kelihatan harmoni di mata orang luar, realitinya penuh kepahitan.

“Suami hanya beri nafkah asas RM1,400, termasuk makan dan bil utiliti.

Walaupun dia ada wang, dia tidak hulur. Baginya, aku ada duit sendiri. Rumah aku yang bayar.

31 tahun kahwin, nenek terpaksa layan batin suami walau dah hilang rasa

Bila makan atau bil tak cukup, aku bantu bayar. Kalau sakit, semua tanggung sendiri. Sedih, rasa macam tak ada suami,” katanya yang juga seorang ibu kepada empat anak.

Kehidupan yang Tampak Bahagia, Namun Penuh Luka
Menurutnya, suami jarang menunjukkan keprihatinan sejak awal perkahwinan, malah permintaan untuk bercerai pernah ditolak oleh suaminya.

“Aku bertahan sebab mak suka dia. Tapi sekarang, suami dah mula kurang ajar dengan mak yang makin uzur. Hubungan kami makin dingin, komunikasi hambar. Kami hanya bersama jika dia mahukan hubungan intim. Aku layan sebab tak mahu bergaduh,” luahnya.

Lebih mengecewakan, suaminya sering bersikap angkuh, mengkritik orang lain, tetapi tidak mahir dalam hal teknologi.

“Lama-lama, aku jadi tawar hati. Kami jarang bercakap. Pernah ada skandal, tapi aku teruskan hidup walaupun sedih. Sekarang, kami tidur asing, tapi aku masih uruskan dia sebab sakit lutut,” jelasnya lagi.

Rindukan Kebebasan, Namun Terkongkong
Wanita ini turut merindui kebebasan dan ruang peribadi, namun suami yang kuat cemburu membatasinya.

“Sikap suami buat aku terdetik berdoa agar kami tidak dipertemukan lagi di akhirat. Aku nak keluar dari rumah tangga ini sebab rasa berdosa, tapi dia tak mahu ceraikan aku. Dia hidup selesa dengan nafkah RM1,400 itu. Apa perlu aku buat?” katanya yang terus dihimpit rasa bersalah.

Nasihat dan Sokongan Netizen
Melalui luahannya di Facebook, wanita ini meminta pandangan warganet untuk mencari jalan keluar dari konflik yang dihadapi.

“Sis boleh cuba cari kebahagiaan sendiri. Solat sunat dua rakaat dan minta petunjuk Allah. Kalau masih rasa tak bahagia, bincang dengan anak-anak, kemudian terus ke pejabat agama,” komen seorang netizen.

Sebilangan warganet turut menasihatinya agar fokus kepada diri sendiri dan memperbanyakkan amal ibadat sekiranya berpisah.

Wanita ini kini berada dalam dilema, terus melaksanakan tugas sebagai isteri tetapi tanpa rasa kasih sayang. Dia berharap dapat menemukan jalan keluar yang terbaik, sama ada memperbaiki hubungan atau mencari kebahagiaan sendiri.

BACA: Saya tawar hati dengan suami, saya tak mampu nak jaga dia lagi, 3 tahun sakit kronik. Apakah saya patut minta cerai?