5 calon SPM dan 3 pekerja dewan makan MRSM Bentong positif Covid-19

5 calon SPM dan 3 pekerja dewan makan MRSM Bentong positif Covid-19

Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong di sini yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) positif Covid-19.

Selain lima pelajar berkenaan, tiga pekerja dewan makan institusi itu turut disahkan positif Covid-19.

Susulan kes terbaharu itu menyebabkan lebih 100 pelajar MRSM berkenaan kini dikuarantin di asrama.

Dalam pada itu, difahamkan kes Covid-19 di MRSM Bentong bermula daripada seorang pelajar yang berasal dari Selangor.

Kes disahkan positif hasil saringan bergejala demam serta batuk dan sehingga kini seramai 47 kontak telah disaring dalam kluster ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Bahari Awang Ngah mengesahkan lapan kes dikesan melibatkan pelajar dan pekerja di MRSM berkenaan.

Baru-baru ini, kesemua pelajar tingkatan lima MRSM Lipis, dekat sini yang bakal menduduki SPM dikuarantin selepas seorang positif Covid-19.

Pengarah MKN negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi, Bentong manakala dua pelajar lelaki dikuarantin di asrama. – UTUSAN