5 rahsia kerja kerajaan yang ramai penjawat awam senyapkan dari pengetahuan umum

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Kerja kerajaan mungkin bukan pilihan utama bagi rakyat Malaysia, yang lebih selesa bekerja dalam sektor swasta.

Ini kerana menyertai sektor awam sering kali menghadapi pelbagai kekangan, mengakibatkan beberapa aspek kebebasan seperti pemilihan lokasi kerja tidak lagi tersedia.

Selain itu, dalam aspek tertentu, penjawat awam boleh dikerah untuk melakukan sesuatu secara paksaan

seperti pendaftaran pengkalan data PADU, yang telah menimbulkan polemik di negara ini.

Walaupun terdapat banyak kelemahan, terdapat lima manfaat utama yang dinikmati oleh semua penjawat awam yang tidak ada pada kumpulan pekerja lain.

5 rahsia kerja kerajaan yang ramai penjawat awam senyapkan dari pengetahuan umum

1. Cuti Belajar

Bagi mereka yang pernah mencuba menyambung pelajaran sambil bekerja, baik sepenuh atau separuh masa, pasti memahami cabaran yang dihadapi dalam mengimbangkan kedua-dua tanggungjawab ini.

Tidak semua syarikat swasta mampu memberikan peluang kepada pekerja untuk melanjutkan pelajaran dengan gaji yang masih berjalan.

Dalam sektor awam, peluang untuk melanjutkan pengajian sambil menerima gaji (selalunya separuh gaji) sangat membantu.

Peluang ini membolehkan penjawat awam ‘cuti kerja untuk belajar’ dalam jangka masa panjang, membolehkan mereka fokus sepenuhnya kepada kelas tanpa perlu bimbang tentang masalah kewangan.

Lebih baik lagi, mereka tidak perlu risau tentang kehilangan pekerjaan kerana posisi mereka masih tersedia apabila mereka kembali.

2. Pinjaman Perumahan yang Tetap

Setiap kali istilah OPR disebut yang berkait dengan Bank Negara Malaysia, ramai rakyat Malaysia akan berdebar menunggu pengumumannya.

Jika kadar OPR meningkat, jumlah bayaran yang perlu dibayar untuk pinjaman, khususnya pinjaman perumahan, juga akan meningkat.

Namun, bagi penjawat awam, isu ini tidak timbul jika mereka memohon pinjaman perumahan melalui LPPSA atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, yang menawarkan kadar pinjaman konsisten sepanjang tempoh bayaran.

Penjawat awam tersenyum melihat pekerja swasta yang gelabah.

Lebih menguntungkan, kelayakan pinjaman LPPSA lebih ringan berbanding tawaran pinjaman dengan bank, membolehkan penjawat awam bergaji rendah memiliki rumah yang sukar diluluskan oleh pihak bank untuk pekerja swasta.

3. Kemudahan Hospital

Ramai orang berkemampuan lebih suka ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Mereka berpendapat hospital swasta lebih selesa dan tidak perlu menunggu dalam barisan jika rawatan segera diperlukan.

Namun, bagi penulis yang tidak pernah berkunjung ke hospital swasta dan memanfaatkan sepenuhnya rawatan di hospital kerajaan melalui kelayakan isteri yang merupakan penjawat awam, realitinya adalah hospital kerajaan adalah pilihan terbaik.

Bergelar penjawat awam membolehkan anda menerima rawatan pada kadar yang berpatutan, malah anda tidak perlu melanggan kad perubatan yang memerlukan bayaran bulanan yang tinggi, memberikan penjimatan yang ketara.

4. Tangga Gaji yang Jelas dan Bonus

Dari segi pendapatan, salah satu kelebihan sistem penjawat awam adalah ketelusannya. Semua penjawat awam dinilai berdasarkan kelulusan pendidikan dan pengalaman kerja yang akan menentukan gaji pokok dan elaun mereka.

Sistem ini sangat berkesan dalam mengelakkan ketidakadilan dalam kiraan gaji, yang sering berlaku di sektor swasta.

Rungutan seperti kakitangan baru mendapat gaji lebih tinggi berbanding pekerja lama atau tiada kenaikan gaji tahunan dapat diminimakan.

Isu perbezaan gaji berdasarkan kaum juga tidak wujud dalam kalangan penjawat awam. Bonus yang diberikan mungkin tidak sehebat syarikat swasta yang besar, tetapi sekurang-kurangnya ada.

5. Golden Handshake

Antara manfaat terbaik bergelar penjawat awam adalah pembayaran gratuiti, atau lebih dikenali sebagai golden handshake, yang merupakan manfaat terbesar yang bakal diterima oleh semua penjawat awam selepas menamatkan perkhidmatan.

Pembayaran ini membolehkan ramai penjawat awam menjalani usia tua dengan baik. Ada yang membeli rumah di kampung untuk berehat, ada yang menunaikan umrah, dan ada juga yang tidak bernasib baik menjadi mangsa penipuan.

Bayaran ini dikira berdasarkan formula khas yang mengambil kira jumlah tahun perkhidmatan, jumlah hari bercuti, dan beberapa faktor lain. Amaun yang bakal diterima penjawat awam adalah agak besar jika perkhidmatan mereka sudah lama.

Perlu diingat bahawa gratuiti ini berbeza dengan pencen. Penjawat awam yang berkhidmat sebelum 2023 akan menerima kedua-duanya.

Namun, bagi mereka yang dilantik secara kontrak tanpa pencen, tidak pasti sama ada mereka akan menerima gratuiti atau tidak.

BACA: Pakar ekonomi beri amaran ringgit akan melemah jika rakyat Malaysia kerap buat perkara ini