Seorang wanita di Vietnam mendakwa bahawa dia tidak pernah menjamah makanan selama 50 tahun sebaliknya
Hidup dengan hanya minum air dan minuman ringan, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Bui Thi Loi, 75, berkata, tabiatnya itu bermula selepas tahun 1963 apabila dia pengsan akibat disambar petir, menyebabkan dia tidak sedarkan diri selama beberapa hari.
Selepas sedar, rakan-rakan Thi Loi memberikan dia minum air manis dan beberapa tahun selepas insiden disambar petir, dia hanya makan buah-buahan.
Pada 1970, Thi Loi menolak sepenuhnya makanan, menyebabkan dia hanya mengisi perut dengan air minuman dan minuman ringan.
Kata wanita dari wilayah Quang Binh itu, aroma makanan turut membuatkan dia berasa loya. Meskipun dia sering memasak untuk anak-anaknya, dia tidak pernah menjamah makanan-makanan itu.
Menurut beberapa doktor di Jabatan Nutrisi di Hospital Persahabatan Vietnam-Cuba, minuman ringan manis membantu menambah tenaga badan dengan cepat pada masa yang diperlukan serta menyokong fungsi sistem penghadaman badan.
Namun, mereka turut menekankan mengenai bahaya minuman ringan kepada kesihatan di mana ia berisiko menyebabkan masalah seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, dan penyakit-penyakit kardiovaskular.