Memiliki kereta memerlukan perhatian yang sepenuhnya terhadap aspek dalaman dan luaran, termasuk komponen penting seperti bateri.
Bateri berperanan utama dalam memastikan sistem elektrik kereta berfungsi,
menghidupkan enjin, dan menyokong komponen elektronik.
Namun, masalah bateri yang cepat habis boleh menjadi isu besar.
Bukan sahaja kereta tidak dapat bergerak, tetapi rutin harian juga pasti akan terganggu.
Kereta adalah satu keperluan masa kini yang memudahkan urusan harian kita.
Justeru, hari ini kami akan kongsikan enam punca utama yang menyebabkan bateri kereta anda cepat habis, seperti yang dijelaskan oleh pengguna TikTok @altimatsaujana.
Penggunaan Aksesori Elektrik
Aksesori kereta seperti lampu, radio, atau GPS yang berfungsi melalui bateri boleh menyebabkan bateri kereta cepat habis jika digunakan secara berlebihan atau tidak dimatikan dengan betul. Contohnya, jika lampu kereta dibiarkan menyala semasa enjin dimatikan, bateri akan habis dengan cepat. Oleh itu, pastikan aksesori ini dimatikan sepenuhnya apabila kereta tidak digunakan.
Bateri Sudah ‘Tua’
Bateri kereta biasanya perlu diganti setiap dua hingga empat tahun, bergantung pada keadaan penggunaannya. Jika bateri sering kehabisan tenaga tanpa sebab yang jelas, ini mungkin petanda bahawa sudah tiba masanya untuk menggantikannya. Menggantikan bateri lama dengan yang baru dapat mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada sistem elektrik kereta anda.
Pemanduan Jarak Pendek
Jika anda kerap memandu dalam jarak pendek (kurang daripada 20 minit), bateri mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk dicas sepenuhnya oleh alternator. Pemanduan jarak jauh membolehkan alternator mengecas bateri dengan lebih baik, menjadikannya tahan lebih lama. Oleh itu, usahakan untuk melakukan perjalanan lebih panjang secara berkala.
Alternator Bermasalah
Alternator yang tidak berfungsi dengan baik tidak dapat mengecas bateri dengan betul. Fungsi alternator adalah untuk menukar tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik untuk mengecas bateri semasa enjin berjalan. Jika anda mendapati bateri sering habis walaupun telah diganti, periksa alternator anda dan baikinya jika perlu.
Kabel Bateri Longgar atau Rosak
Kabel sambungan yang longgar atau rosak boleh menghalang aliran tenaga ke dan dari bateri, menyebabkan ia cepat habis. Pastikan sambungan kabel bateri dipasang dengan ketat dan bebas daripada kerosakan. Jika terdapat sebarang masalah pada kabel, segera periksa dengan mekanik untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.
Penjagaan Bateri yang Tidak Teliti
Bateri yang terbiar dalam kereta untuk tempoh yang lama tanpa digunakan boleh menyebabkan kuasanya habis.
Jika anda bercadang untuk meninggalkan kereta tanpa digunakan untuk beberapa minggu atau bulan, keluarkan bateri dan simpan di tempat yang selamat di dalam rumah.
Jangan letakkan bateri terus di atas lantai, gunakan lapik untuk melindunginya.
BACA: Lain pula jadi bila Vivy Yusof diheret ke SPRM hari ini