7 lagi menteri sedang jalani kuarantin kerana ‘kluster menteri’

7 lagi menteri sedang jalani kuarantin kerana ‘kluster menteri’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bahawa sebanyak tujuh menteri dan enam timbalan menteri sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk tempoh 14 hari.

Ini ekoran status Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Muhyiddin mengesahkan perkara tersebut dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 menerusi siaran langsung daripada rumahnya sebentar tadi.

“Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah tujuh orang menteri dan enam timbalan menteri.

“Kesemua mereka ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin.

“Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menyenaraikan nama menteri dan timbalannya yang sedang menjalani kuarantin.

Sementara itu, ahli parlimen Pagoh berkata kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih.

“Mengenai isu kuarantin, saya ingin tegaskan tidak ada double standard dalam mematuhi arahan kuarantin.

“Saya sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh seorang menteri yang disahkan positif Covid-19.

“Ini adalah SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebagai perdana menteri saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP.

“Covid 19 tidak mengenal pangkat atau darjat. Virus ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan oleh kerana itu SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang,” katanya.

Muhyiddin sedang menjalani kuarantin kali kedua di rumah sejak pandemik Covid-19 melanda.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/545468