80 peratus hasil jualan restoran ‘lesap’ sepanjang PKP

80 peratus hasil jualan restoran ‘lesap’ sepanjang PKP

Peniaga restoran kehilangan 80 peratus jualan berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan pelanggan makan di premis sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara (YUN), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada peniaga restoran yang mengakui pendapatan mereka merosot.

Beliau berkata, ramai peniaga tertekan dengan situasi yang dihadapi kerana mereka hanya dapat menjana 20 peratus jualan termasuk secara dalam talian.

“Peniaga restoran tidak dapat menampung kerugian sebanyak itu. Bantuan kerajaan seperti Pakej Penjana tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, sekiranya keadaan itu berterusan beliau bimbang ramai dalam peniaga restoran terpaksa gulung tikar.

“Ada yang masih bertahan dalam tempoh PKP 1.0 kerana mempunyai simpanan yang cukup tetapi lama kelamaan akan tutup juga,” katanya.

Katanya, YUN menyokong gesaan peniaga restoran dan kedai makan yang meminta kerajaan mempertimbangkan rayuan mereka membenarkan pelanggan makan di premis kerana yakin akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak.

“Kerajaan perlu menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat kepada semua pihak dalam usaha memastikan tidak wujud kluster restoran selepas ini,” katanya.

Megat turut menyarankan kerajaan menggalakkan semua pemilik restoran dan premis perniagaan makanan sentiasa kekal sihat.

“Sekiranya boleh kerajaan mesti menggalakkan semua majikan supaya memastikan kakitangan di restoran mengambil vitamin dan suntikan tambahan untuk menguatkan imunisasi badan.

“Pekerja di restoran juga perlu kerap menjalani ujian calitan Covid-19 dan usaha itu merupakan inisiatif pemilik atau majikan sendiri bagi memastikan penularan wabak dapat dikawal,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuka semula sektor ekonomi sepanjang PKP ini.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula 22 Januari lalu tetapi hanya membabitkan pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu sahaja.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122969/BERITA/Nasional/Peniaga-restoran-hilang-80-peratus-jualan-sepanjang-PKP