Barisan selebriti mula ‘cabut lari’ dari Twitter selepas Elon Musk ambil alih. Pengambilalihan jutawan Elon Musk terhadap syarikat gergasi media sosial Twitter telah menimbulkan kekecohan dalam dunia media sosial.
Ini termasuk keputusan beliau mengenakan caj bulanan sebanyak AS$8 (RM37.67) bagi akaun ‘blue tick’ (tanda biru), pemberhentian besar-besaran pekerja dengan mengurangkan tenaga kerja sebanyak 50 peratus dan keputusan lain telah menyebabkan platform itu dilihat berantakan.
Musk selaku orang terkaya di dunia kerap menciap menggunakan akaun rasminya, menghantar mesej di Twitter yang membuatkan pengguna ‘bingung’. Malah pembeliannya terhadap platform media sosial itu membuatkan ramai tidak lagi berminat dengan Twitter, termasuk beberapa selebriti yang memilih meninggalkan platform tersebut.
Whoopi Goldberg
Hos terkenal, Whoopi Goldberg mengumumkan keputusannya berhenti dari menggunakan Twitter. Hal ini dikongsi dalam rancangan ‘The View’ siaran ABC. Lapor Variety. Hos berusia 66 tahun itu berkata Twitter disifatkan amat ‘berantakan’. Bagaimanapun, Goldberg memberitahu dia sedia kembali jika semuanya telah selesai dan mula berasa selesa.
Amber Heard
Bekas teman wanita, Elon Musk, pelakon Amber Heard turut mengikut jejak langkah sama. Seorang pengguna Twitter ‘The Umbrella Guy’ sempat membuat tangkapan skrin profil Twitter Heard yang menulis ‘Akaun ini tidak wujud’. Heard, yang baru-baru ini kalah dalam perbicaraan fitnah terhadap bekas suami Johnny Depp, pernah menjalin hubungan asmara dengan Musk selama setahun antara 2016 dan 2017 sebelum berpisah. Pasangan itu bertemu semula pada 2018 tetapi kemudian berpisah selepas gagal menyelamatkan hubungan mereka.
Gigi Hadid
Model Gigi Hadid menyahaktifkan akaun Twitternya selepas Musk mengambil alih Twitter. Dalam cerita Instagramnya, model berusia 27 tahun itu menulis Twitter dengan pimpinan baharunya disifatkan seperti ‘kumbahan kebencian dan ketaksuban’. Lapor CBS, dia tidak mahu menjadi sebahagian dari pengguna Twitter walaupun berhubung dengan ramai peminat di platform itu.
Toni Braxton
Penyanyi R&B Toni Braxton juga memutuskan untuk berhenti dari laman microblogging selepas Musk mengambil alih tampuk Twitter. “Saya terkejut dengan beberapa “ucapan bebas” yang saya lihat di platform ini sejak pengambilalihannya. Ucapan kebencian di sebalik tabir “kebebasan bersuara” tidak boleh diterima. Oleh itu, Braxton memilih untuk tidak menggunakan Twitter kerana ia bukan lagi ruang selamat untuk dirinya, anak-anak dan pengguna lain.
Shonda Rhimes
Penulis skrip dan penerbit Shonda Rhimes juga berhenti membuat ciapan sejak Musk membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion ( RM191.44 bilion). “Tidak berminat untuk ada di sini untuk apa sahaja yang Elon rancang. Bye,” tulisnya.