Wanita mengaku letupkan bom di Istanbul. Suspek insiden pengeboman di Istanbul, Turkiye, mengaku meletupkan bom dalam serangan itu yang mengorbankan enam nyawa, lapor akhbar The Sun semalam.
Sebuah video menunjukkan detik wanita berkenaan, Ahlam Albashir diberkas dan digari selepas polis menyerbu pangsapurinya.
Dia dilihat meniarap di atas lantai ketika anggota polis mengacukan pistol ke arahnya.
Beberapa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek melarikan diri dari tempat kejadian sambil memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah beberapa saat sebelum bom meletup.
Polis Turkiye kini menamakan warga Syria itu sebagai suspek, yang didakwa telah dilatih menjadi pegawai risikan oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu berkata, seorang suspek kini dalam tahanan serta menyalahkan kumpulan militan Kurdish sebagai dalang serangan terbabit.
Polis berkata, ia telah menahan 47 suspek termasuk individu yang meletupkan bom tersebut.
“Suspek yang meletupkan bom telah ditahan oleh Direktorat Awam Keselamatan kami,” kata Soylu.
Dalam kejadian Ahad petang lalu, rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita duduk di atas sebuah bangku selama 45 minit dan meninggalkan sebuah beg sejurus sebelum letupan berlaku.
Enam orang maut manakala sekurang-kurangnya 81 yang lain cedera dalam letupan tersebut yang berlaku di kawasan beli-belah yang menjadi tumpuan pelancong di Istanbul, Istiklal Avenue.