Harga sawit dijangka terus meningkat dibawah pentadbiran Anwar. Moody’s Investors Service menaikkan julat sensitiviti harga jangka sederhana untuk minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,400 hingga RM3,800 satu tan daripada RM2,800 hingga RM3,200 sebelum ini berikutan kekangan bekalan serta didorong permintaan yang menggalakkan.
Agensi penarafan itu berkata, titik tengah RM3,600 bagi julat harga yang dikemas kini adalah 20 peratus lebih tinggi daripada RM3,000 berbanding julat sebelumnya iaitu RM2,800 hingga RM3,200.
“Kami akan menggunakan julat harga ini dalam unjuran kewangan untuk syarikat-syarikat yang dinilai untuk menilai unjuran prestasi mereka dalam tempoh ini,” katanya dalam satu nota, baru-baru ini.
Menurut Moody’s, harga MSM dalam tempoh 12 hingga 24 bulan berikutnya dijangka kekal lebih tinggi daripada paras sejak lima hingga 10 tahun lalu kerana cuaca buruk dan pengeluaran yang lemah mengurangkan bekalan, manakala diskaun yang meluas terhadap minyak-minyak gantian menyokong permintaan.
Ia menambah, harga-harga MSM bagi tahun 2022 sangat tidak menentu, menyaksikan harga memuncak pada sekitar RM7,600 satu tan pada April dan susut lebih 50 peratus kepada bawah RM3,500 satu tan menjelang September sebelum pulih secara beransur-ansur kepada sekitar RM4,000 pada November.
Walaupun harga MSM jatuh daripada paras tertinggi sepanjang masa, ia masih jauh lebih tinggi daripada paras sejarah, tambahnya.
Dari segi penawaran, Moody’s berkata meskipun kekurangan buruh asing di Malaysia mungkin dapat diselesaikan pada 2023, bekalan buruh yang ketat sejak 12 ke 18 bulan lalu telah menjejaskan aktiviti perladangan dan penuaian, yang sekali gus mengehadkan pertumbuhan dalam hasil pengeluaran minyak sawit.
“Purata hasil buah tandan segar di Malaysia telah merosot sekitar satu peratus kepada 12.7 tan sehektar dalam tempoh 10 bulan pertama 2022 berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
“Tambahan pula, cuaca buruk berkemungkinan mengganggu pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang,” katanya sambil menambah Pusat Meteorologi Khusus ASEAN meramalkan keadaan La Nina, yang menyebabkan hujan lebih tinggi daripada jangkaan, diunjurkan berterusan pada suku pertama 2023.
Mengenai permintaan, Moody’s berkata, diskaun ketara MSM terhadap minyak kacang soya dan minyak bunga matahari dijangka mampu menyokong permintaan dan harga.
MSM ialah sumber alternatif minyak masak dan bahan mentah bio.