Shuib tak sabar nak jumpa kembarnya di konti radio

Oleh GEMILANGDAILY

Shuib tak sabar nak jumpa kembarnya di konti radio. “Memang rakan selalu usik cakap wajah saya seperti Shuib tetapi saya tak ambil serius sangat sebab itu cuma gurauan.

“Tetapi kali ini tak sangka pula gambar saya akan tular hingga mendapat perhatian ramai termasuk Shuib sendiri,” kata Leftenan Komander Mohamad Khairul Anuar Md Halim.

Mohamad Khairul Anuar, 35, yang juga anggota Malaysian Battalion (MALBATT) 850-9 adalah individu yang tular apabila wajahnya dikatakan seiras pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia hanya menyedari gambarnya tular di Facebook (FB) selepas dimaklumkan isteri dan beberapa rakan.

Menurutnya, dia kemudiannya membaca setiap komen di FB berkenaan yang menyamakannya dengan Shuib, namun tidak membalas komen itu kerana menganggap ia adalah perkara biasa.

Shuib tak sabar nak jumpa kembarnya di konti radio

“Selepas itu ramai pula yang beritahu Shuib sudah memuat naik hantaran di Instagram (IG) dan mencari saya. Saya sudah menghubunginya melalui IG isteri kerana saya tiada akaun IG.

“Kemudiannya produser sebuah stesen radio ada menghubungi kami dan mencadangkan tarikh dan masa untuk berjumpa Shuib di konti.

“Kebetulan tarikh itu sama dengan perancangan saya mahu membawa keluarga bercuti di Kuala Lumpur. InsyaAllah kalau diberikan kesempatan dan masa terluang kami akan bertemu,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, niatnya mahu berjumpa pelawak itu kerana untuk meraikan jemputan Shuib selain pertemuan itu boleh mengeratkan silaturahim.

“Saya juga ‘layan’ lawak Sepahtu dan tonton program mereka. Tak sangka juga Shuib sendiri yang mahu bertemu dan menghargai jemputan itu,” katanya yang kini sedang bercuti di kampung halaman di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bercerita lanjut, Mohamad Khairul Anuar berkata, sebelum ini ada keluarga isterinya memberitahu wajahnya seiras Shuib, malah rakan juga kerap mengusik, malah pernah memanggilnya Shuib.

Katanya, gambar yang tular itu dirakam ketika perbarisan dan mungkin sudut gambar diambil jurugambar dan kerutan wajahnya kerana cuaca ketika itu menyebabkan wajahnya seiras Shuib.

“Saya tak mahu bandingkan wajah sama seperti siapa pun tetapi kalau orang yang komen itu pada saya adalah pandangannya dan saya hormati.

“Saya tak kisah jika mahu komen atau bergurau asalkan ia tidak mengganggu sensitiviti sesiapa,” kata pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut.

Terdahulu, gambar pegawai tentera itu mendapat perhatian netizen dan tular kerana seiras Shuib, malah pelawak itu turut memuat naik hantaran serta meminta pengikutnya membantu mencari lelaki itu.

BACA:

Peguam Negara buka mulut isu lepas bebas Aziz Raheem

Terkini: Bersatu Sabah sah keluar dari Bersatu

Handphone Tokti pula ‘hang’ masa bergambar dengan Gordon Ramsay