‘Wangi sangat ni’ – Bau harum di Sepang buat penduduk bingung. Bau semerbak seakan-akan minyak wangi dikatakan ‘berlegar’ sekitar Taman Dahlia, Sepang sejak semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sepang Viral, bau misteri itu boleh dihidu dengan kuat sehingga ke beberapa kawasan termasuk premis perniagaan.
“Sapa duk Taman Dahlia, ada bau tak benda wangi? Kuat betul, kat 7E pun ada bau,” tulis perkongsian itu
Namun, tidak dinyatakan punca kawasan sekitar terbabit dilanda bau wangi misteri tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna telah berkongsi punca bau wangi yang dapat dihidu penduduk sekitar kawasan tersebut.
Dakwa pengguna, sebuah lori muatan, sama ada cecair pakaian ataupun membawa minyak wangi telah terbalik di sekitar Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) semalam.
“Ada lori terbalik kat Elite. Sepanjang jalan sampai ke Tapah wangi kereta kami,” tulis Suzana Sha’em.
“Lori perfume (minyak wangi) terbalik dekat Movinpick Hotel,” dakwa Jannah Juma’ah.
Turut berkongsi kisah tersebut adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Eeyna Azman.
“Tadi anak bujang beritahu ,ada lori sabun terbalik kat lebuh raya, tak tau lah lori sabun ke, lori perfume,” katanya.
Difahamkan beberapa lagi pengguna yang melalui lebuh raya tersebut dapat menghidu bau wangi tersebut sehingga ke kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, kerajaan negeri Selangor mengesahkan pati minyak wangi menjadi punca henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi, pagi tadi yang menjejaskan bekalan air ke 473 kawasan di empat daerah di Selangor serta Putrajaya.