Kena tusuk dengan gading gajah, renjer hutan dari Sabah maut. Seorang renjer hidupan liar maut akibat ditusuk gading gajah dalam kejadian di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Joe Fred Lansou, 49, mengalami kecederaan pada bahagian perut akibat tusukan gading gajah berkenaan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, kejadian berlaku ketika mangsa melakukan rutinnya di kandang gajah berkenaan.
“Tugas rutin semasa kejadian ialah memberikan rawatan dan makanan kepada gajah selain membersihkan kandang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mendiang berkhidmat dalam Unit Gajah Taman Hidupan Liar Lok Kawi dengan jawatan sebagai Renjer Hidupan Liar.
Sementara itu, kakitangan taman itu, Ruhaizam Ruslan, 36, memberitahu, dia tidak menyangka rutin harian yang dijalankan merupakan detik terakhir bersama rakan setugasnya itu.
“Rutin kami bermula jam 8 pagi dan biasanya kami mula dengan membersihkan najis gajah di kandang serta memberi makanan kepada haiwan berkenaan.
Ketika kejadian saya bersama mendiang berada di lokasi yang sama namun kemudian saya pergi ke kandang lain dan dia ketika itu sedang merawat seekor anak gajah yang mengalami luka di bahagian kaki.
“Namun tiba-tiba saya terdengar bunyi jeritan gajah dan kemudian bergegas ke kandang berkenaan untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati mendiang sudah terbaring dalam keadaan pucat manakala perutnya berlubang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Ruhaizam memberitahu, tanpa berlengah dia segera menghalau gajah yang ada di kandang berkenaan sebelum bertindak mengangkat tubuh rakannya yang cedera.
“Saya tidak dapat berfikir ketika itu dan hanya mampu menangis melihat keadaan mendiang,” katanya yang masih sedih dengan pemergian rakan baiknya itu.
Tambah Ruhaizam lagi, sepatutnya mendiang mula bercuti untuk menyambut perayaan Krismas sehingga hujung tahun ini tetapi dia tidak menyangka berlaku kejadian malang itu.
“Saya mengenali mendiang sejak lebih 10 tahun yang lalu namun baru saja bekerja dengannya pada tahun lalu selepas menyertai unit berkenaan.
“Mendiang seorang yang periang namun dalam masa yang sama seorang yang tegas dalam pelbagai aspek malah beliau begitu mengenali sifat haiwan terutamanya gajah kerana beliau adalah Ketua Unit Gajah di taman ini.
“Tetapi kami pun tidak menyangka ‘angin’ apa yang berlaku kepada gajah berkenaan,” katanya.
Difahamkan, gajah jantan berusia 10 tahun itu mempunyai gading sepanjang kira-kira 30 sentimeter dan haiwan itu ditempatkan bersama sembilan ekor gajah lain di dalam kandang bahagian pelancongan.
Bagaimanapun, difahamkan haiwan itu telahpun dipindahkan dan diasingkan daripada gajah-gajah lain.