Coach fizikal Shah Rukh Khan dedah rahsia umur 57 tahun masih dapat badan gagah. Nama Shah Rukh Khan tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya di negara kita. Populariti filem-filem Bollywood sejak sekian lama cukup mekar di Malaysia. Jadi tidak hairanlah apabila melakukan kunjungan ke negara kita sambutan yang diberikan memang luar biasa.
Karier Shah Rukh Khan yang kini sudah berusia 57 tahun masih lagi utuh. Terbaru filem lakonannya berjudul ‘Pathaan’ akan mula ditayangkan di India bermula penghujung bulan ini. Ia turut dibintangi dua bintang berpengaruh Bollywood iaitu Deepika Padukone dan John Abraham.
Menerusi trailer ‘Pathaan’ yang boleh ditonton di atas talian pasti anda semua terpesona melihat fizikal Shah Rukh Khan yang cukup tegap dan padu dengan six-pack. Melihatkan fizikal seperti itu pada seorang lelaki yang usianya sudah 57 tahun sedikit sebanyak membibitkan rasa kagum.
Pastinya anda juga sama seperti MASKULIN tertanya-tanya apakah rutin latihan yang dilakukan oleh yang popular dengan filem berstatus legenda seperti ‘Kuch Kuch Ho Ta Hai’ dan ‘Kabhi Khushi Kabhie Gham’ ini?
KERJA KERAS & DISIPLIN
Pada Mac tahun lalu, Shah Rukh Khan mula memberikan teaser bentuk badannya tersebut menerusi Instagram kendaliannya. Apakah rahsia Shah Rukh Khan?
Rahsia latihan intensif yang dilakukannya dikongsikan oleh jurulatih fizikal atau peribadi, Prashant Subhash Sawant yang telah berkerja bersama Shah Rukh Khan sejak dua dekad lalu.
“Saya telah melatih Shah Rukh Khan sejak 24 tahun. Dalam empat tahun lebelakangan ini kami bersama-sama berusaha untuk filem ini. Walaupun berdepan pandemik namun Shah Rukh Khan tetap konsisten dengan latihannya,” jelas Prashant.
Kongsinya lagi, Shah Rukh Khan banyak melakukan aktiviti angkat berat. Sebelum itu dia turut melakukan latihan litar dan senaman kardio.
“Tetapi kini kami telah menggabungkan lebih banyak latihan kekuatan yang membantu dia kelihatan lebih baik dan lebih besar. Kami mengambil masa dua tahun untuk membina susuk tubuh kencang yang anda lihat di skrin. Rangka dan rupanya telah berubah sepenuhnya,” kata Prashant dalam satu temu bual bersama Indian Express baru-baru ini.
Jelasnya lagi, filem ‘Pathaan’ akan menjadi sebuah naskhah yang cukup berbeza kerana transformasi yang dilakukan oleh Shah Rukh Khan. Tambahnya lagi, perkara ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerja keras dan dedikasi luar biasa oleh aktor tersebut.
Malah dia turut menggelarkan Shah Rukh Khan sebagai ikon kecergasan buat semua peringkat usia selain memberikan fokus yang spesifik terhadap dietnya.
“Setiap perkara yang dilakukannya akan diambil kira dan dirancang dengan teliti. Dari pengambilan karbohidrat, lemak dan protein. Transformasinya itu dianggap sebagai kerja sepasukan.
Lihatlah dedikasi yang ditunjukkan oleh Shah Rukh Khan. Walaupun usianya sudah separuh abad namun ia tidak menghalangnya untuk menjalani gaya hidup lebih sihat dan mampu membina bentuk fizikal yang mantap!
BACA JUGA :