BN dakwa kemenangan PAS di Marang ada unsur rasuah, bakal failkan petisyen. Barisan Nasional (BN) akan mencabar kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang dan keputusan dua lagi kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15.
Petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 di Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu itu akan difailkan oleh Umno Terengganu.
Tiga kerusi Parlimen itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, 19 Nov lalu. Semua petisyen itu difailkan kerana didakwa berlaku rasuah oleh PN.
Ketua Umno Terengganu Ahmad Said dijangka membuat sidang media esok bersama beberapa peguam berhubung petisyen itu, lapor Sinar Harian.
Ahmad tewas di kerusi Parlimen Kemaman kepada calon PAS Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.
Marang dimenangi Hadi dengan majoriti 41,729 undi manakala Kuala Terengganu dipertahankan calon PAS Amzad Hashim dengan majoriti 40,907 undi.
Sabtu lalu Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata petisyen akan difailkan di tiga kerusi Parlimen.
“Kami mempunyai bukti kukuh ada kesalahan pilihan raya dilakukan terutama sekali melibatkan merasuah pengundi,” katanya tanpa mendedahkan tiga kerusi Parlimen itu.
BACA:
Pembayaran Bantuan Tunai Rakyat 2023: Ini jadual penuh untuk anda semak
Ini sebab tengok video ‘blue’ bukan asbab untuk belajar buat hubungan