Mahkamah Benarkan Saman Peserta PAKS Atas KESEDAR Diteruskan

Oleh GEMILANGDAILY

Mahkamah Benarkan Saman Peserta PAKS Atas KESEDAR Diteruskan. Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu hari ini memutuskan untuk menolak permohonan Kesedar membatalkan saman peserta Projek Agropolitan Rantau Manis (PAKS) ke atas mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman YA Datuk Mohamad Abazafree bin Mohd Abbas di dalam keputusannya telah menolak dengan kos di dalam kausa permohonan lima perkara Kesedar untuk batalkan saman peserta PAKS dan seterusnya membenarkan kes ini untuk dibicarakan secara penuh di Mahkamah terbuka nanti.

Mahkamah juga telah menetapkan bicara permohonan injunksi peserta PAKS utk menghalang Kesedar dari bertindak menamatkan perjanjian mereka dan menghalang mereka dari terus mengerjakan tanah ladang PAKS pada 12/2/2023.

Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) ini menelan belanja RM240 juta dilaksanakan bermula tahun 2009 bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar dari seluruh negeri Kelantan sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

Mahkamah Benarkan Saman Peserta PAKS Atas KESEDAR Diteruskan

Dalam tempoh 12 tahun sebelum ini, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 keluarga meningkatkan taraf hidup masing-masing apabila diberikan kediaman serta jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit dan koko.

Projek berkenaan yang pada asalnya dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kesedar. Namun selepas kerjasama tamat, ECERDC telah menyerahkan projek itu sepenuhnya kepada Kesedar berkuat kuasa 1 Januari 2022. Kesedar pula kemudiannya memutuskan untuk menamatkan terus penyertaan semua peserta di dalam PAKS berkenaan.

Peserta PAKS merupakan rakyat termiskin yang dipilih dari seluruh negeri Kelantan bagi menyertai program berkenaan sebagai salah satu ikhtiar basmi kemiskinan sebelum ini. Mereka diberikan lot tanah untuk diusahakan dengan sawit serta koko dan sebuah rumah E-Kasih apabila menyertai projek berkenaan.

Walau bagaimanapun apabila Kesedar memutuskan untuk menamatkan terus PAKS itu, peserta projek itu terus kehilangan punca rezeki yang menjadi mata pencarian utama mereka sebelum ini.

Segala perjanjian antara peserta dengan Kesedar sebelum ini Kesedar telah tamatkan dan para peserta yang sebelum ini mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit tidak lagi dibenarkan masuk ke lot sawit masing-masing. Malah pihak Kesedar telah membuat laporan polis ke atas peserta kerana enggan akur menyerahkan tanah lot mereka kepada Kesedar dan masih mengerjakannya. 10 orang peserta telahpun ditahan oleh pihak polis berkaitan laporan oleh Kesedar berkenaan. Mereka walau bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis buat masa ini.

Sebagai ganti serah balik lot ladang mereka kepada Kesedar, satu surat penyerahan pemilikan kediaman diedarkan kepada peserta program untuk ditandatangani. Mengikut kandungan surat itu, peserta yang bersetuju menandatanganinya akan diberikan surat pemilikan rumah E-Kasih yang sudah duduki sekarang serta menerima gratuiti penyertaan RM700 sebulan untuk tempoh setahun bermula Januari 2022. Walau bagaimanapun seramai 291 orang peserta enggan menandatangani penyerahan berkenaan dan bertindak melantik peguam bagi membawa penamatan berkenaan ke mahkamah.

291 peserta PAKS berkenaan diwakili peguam Hisham Fauzi manakala Kesedar diwakili oleh peguam Arham Rahimy Hariri.

Peserta yang enggan menandatangani surat itu telah hilang punca pendapatan. Sebelum ini purata pendapatan bulanan peserta bekerja di ladang adalah tidak kurang dari RM1,500 sebulan.

BACA:

Netizen tegur Maria Tunku Sabri tak pakai stokin ketika umrah

Azam Baki kata sedekah atau sumbangan, rasuah tetap rasuah! – Hadi bakal dikenakan tindakan?