Buat tambak tinggi sampai susahkan jiran, “lori sampah nak masuk pun susah!” berjiran memerlukan sikap tolak ansur antara satu sama lain untuk mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Nampak mudah untuk diamalkan, tetapi bukan semua orang mampu untuk bersikap sedemikian kerana masih wujud golongan yang lebih mementingkan kesenangan diri sendiri.
Golongan ini bukan sahaja tidak mengendahkan perasaan orang lain tetapi juga tidak memikirkan kesusahan terpaksa ditanggung jiran sekeliling akibat sikap penting diri mereka.
Menerusi satu perkongsian seorang individu di laman Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini, sebuah rumah dipaparkan mempunyai tambak tambahan di bahagian luar pagar yang dibina dengan begitu tinggi sehingga menghalang laluan penduduk lain.
“Sepatah dua kata…” tulisnya ringkas dalam hantaran tersebut.
Tambak tambahan di pagar laluan utama untuk keluar dan masuk ke kediaman berkenaan ternyata membuatkan jalan menjadi sempit.
Mungkin pembinaan tambak tersebut memudahkan pemilik rumah berkenaan, tetapi tindakannya itu menimbulkan perasaan kurang dalam kalangan jiran-jirannya.
Individu berkenaan berkongsi gambar ini di media sosial untuk bertanya pendapat warganet
Dipercayai, situasi ini berlaku di sebuah taman perumahan di Senawang, Negeri Sembilan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen marah dengan tindakan pemilik atau penghuni rumah berkenaan kerana ia dilihat membahayakan pengguna jalan itu dan menyalahi undang-undang.
“Ni menyalahi undang-undang. Nanti jentera bomba nak guna jalan tu bila berlaku kebakaran rumah atau rumah jiran akan terhalang. Tindakan ni boleh disaman dan perlu dirobohkan.
“Ini kalau tengah malam tak nampak. Boleh jadi sarkas motor dan kereta yang lalu lalang di situ.
“Ini namanya penting diri. Menyusahkan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Jom ramai-ramai buat aduan kat majlis bandaran,” demikian antara komen netizen.
Susulan posting tular ini, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah berjumpa dengan pemilik rumah berkenaan bersama wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi membincangkan tentang isu yang timbul.
Difahamkan, penduduk sekitar hilang sabar kerana lorong tersebut merupakan laluan utama yang menghubungkan empat buah rumah dan lori pemungut sampah juga didakwa tidak dapat masuk kerana laluan terganggu dengan tambak tambahan itu.
“Bagi siapa yang bertanya lorong depan atau belakang. Ini lorong depan dan tak ada lorong belakang di taman ini. Jadi empat buah rumah berkongsi lorong dan ruang masuk sama.
“Lori dah susah nak masuk. Lori sampah hanya berhenti depan lorong. Pemungut sampah kena bawa tong sampai ke depan,” ujarnya.
Antara komen netizen pada hantaran tersebut
Sementara itu, individu berkenaan turut memberi nasihat kepada orang ramai di luar sana yang hidup berjiran supaya menghormati penduduk lain.
“Tak sangka perkongsian ni boleh jadi viral. Terima kasih kepada semua yang sokong. Semoga tak berlaku kepada penduduk lain. Ingat, toleransi berlaku dua hala,” katanya.
BACA:
Menu ‘Azizah’ lagi murah dari Rahmah, tak masuk akal tengok harga makanan kedai ni
Pemuda ini beli kereta lelong Polis masa nak baiki terjumpa duit dalam pintu, rupanya ini kereta..