Ini punca jualan Proton Wira naik mencanak pada tahun 1994

Oleh GEMILANGDAILY

Ini punca jualan Proton Wira naik mencanak pada tahun 1994. Selepas model pertamanya Saga dilancarkan pada 1985, Proton mula memperkenalkan model keduanya iaitu Wira pada Mei 1993.

Proton Wira merupakan satu anjakan buat Proton – ia diasaskan dari Mitsubishi Lancer generasi kelima yang baru sahaja muncul di Jepun pada Oktober 1991, menawarkan reka bentuk dan teknologi yang jauh lebih moden berbanding Saga.

Setahun selepas itu, badan penala rasmi Proton ketika itu, EON Motorsport yang dikendalikan badan pengedarnya iaitu Edaran Otomobil Nasional (EON) hadir dengan model prototaip Proton Sembilu yang diasaskan dari Wira.

EON Motorsport yang juga pengendali pasukan lumba Petronas EON Racing Team (PERT) mendedahkan Sembilu di Ibu Pejabat EON Shah Alam pada 6 Jun 1994.

Ini punca jualan Proton Wira naik mencanak pada tahun 1994

Kemunculan Proton Sembilu ini menghiasi dada-dada akhbar utama ketika itu. Menurut Pengurus Kanan Pemasaran EON yang juga bos pasukan PERT Datuk Abdul Razak Dawood dalam laporan Utusan Malaysia, Sembilu memberikan gambaran pelbagai aksesori yang akan dihasilkan oleh EON Motorsport untuk Proton Wira yang akan dijual dalam pasaran untuk masa akan datang.

Ia bukan sahaja melibatkan aksesori kosmetik seperti kit badan, rim dan juga perincian dalaman yang lebih sporty, malah EON Motorsport turut akan menawarkan kit prestasi yang melibatkan bahagian enjin, suspensi dan juga transmisi bukan hanya untuk jalan raya, malah untuk perlumbaan.

Ketika ini, EON Motorsport bukan baharu dalam memperkenalkan aksesori prestasi untuk kereta-kereta Proton. Sebelum Wira, EON Motorsport pernah memperkenalkan pakej Saga Aerokit untuk Proton Saga Aeroback iaitu kit berharga RM7,000 yang menampilkan kit badan lebar serta sistem ekzos yang mengekstrak 10% kuasa lebih banyak, kesemuanya dibangunkan di bawah seliaan Mitsubishi Ralliart di Jepun.

Disebabkan sumber rujukan yang kurang, berbagai spekulasi berkenaan Proton Sembilu ini berlegar hingga ke zaman internet. Oleh kerana ada beberapa bahagian yang nampak seperti Lancer Evolution, ada yang mendakwa bahawa Sembilu merupakan Lancer Evo sebenar yang “diWirakan”, malah ada perencah tambahan yang mengatakan projek produksi Sembilu ini terpaksa dihentikan kerana mendapat bantahan dari JPJ. Betul ke?

Ketika membincangkan spesifikasi sebenar Proton Sembilu ini di Facebook Group Apa Khabar Proton Lama Hari Ini?, seorang ahli kumpulan berkenaan, Chan See Wah telah mendedahkan beberapa foto Proton Sembilu yang tidak pernah dilihat di internet sebelum ini. Dan yang paling penting Chan turut menyiarkan foto spec sheet sebenar Proton Sembilu!

Dengan apa yang didedahkan oleh Chan ini, barulah misteri dan mitos berkenaan Proton Sembilu dapat dirungkai, dan maklumat tersebut disusun semula dalam artikel ini.

Seperti yang semua tahu, Sembilu hadir dalam warna badan merah menyala bersama kit badan khas. Yang banyak tersiar di pelbagai laman adalah bahagian hadapannya – Sembilu menerima bampar yang direka bukan sahaja dengan liang udara tengah yang besar, malah liang udara sisi juga besar, sama dengan tujuan rekaan bampar pada Lancer Evo.

Namun rekaan liang bampar pada Proton Sembilu ini adalah lebih ‘bulat’, berbanding rekaan Evo I/Evo II yang lebih bersegi. Sembilu juga dilihat mengenakan rim aloi OZ Chrono 15-inci berwarna putih yang sama seperti Lancer Evo II dan III.

Pada bahagian sisi, Sembilu menerima skirt sisi dengan panel pada ruang roda hadapan dan belakang yang tinggi seakan diambil dari Mitsubishi Galant VR4. Manakala di belakang, gambar yang disiarkan oleh Chan mendedahkan model konsep ini hadir dengan spoiler but yang direka seakan spoiler Lancer Evolution II tetapi tanpa tiang di tengah.

Pada bahagian dalaman, Sembilu diberikan roda stereng Momo lebih sporty yang nampak seiras dengan roda stereng Lancer Evo II. Papan pemukanya masih kekal dari Wira, namun tempat duduk hadapan telah ditukar dengan tempat duduk Recaro dari siri Njoy. Berbanding Recaro Njoy pada Evo yang diberikan perehat kepala jenis “bantal”, perehat kepala pada Sembilu adalah dari jenis “jaring ikan”.

Untuk sistem mekanikal, spec sheet yang disiarkan oleh Chan menunjukkan Sembilu dijana oleh enjin 1.6 liter yang dipadankan dengan sistem turbo ‘bolt-on’. Ini menafikan sama sekali Sembilu ialah sebuah Evo yang menggunakan muka dan lampu belakang Wira, dijana oleh enjin 4G63T 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda. Selain itu, Sembilu juga menerima tingkat taraf pada sistem ekzos, suspensi dan juga pad brek.

Jika diperhatikan dengan teliti, Sembilu ini sebenarnya diasaskan dari Wira 1.6 liter manual untuk pasaran eksport ke UK. Ia adalah kerana Sembilu menampilkan meter kelajuan yang memberikan bacaan MPH (batu sejam), manakala lampu belakang juga turut dilengkapi dengan lampu kabus.

Untuk pengetahuan anda, pada tahun 1993 Wira dengan enjin 1.6 liter untuk pasaran tempatan hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik, dan versi manual lima-kelajuan hanya boleh didapati untuk model 1.6 pasaran UK. Wira 1.6 dengan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia hanya dijual pada lewat tahun 1994. Ini mungkin sebab mengapa EON Motorsport menggunakan Wira 1.6 UK Spec sebagai asas kepada model konsep Sembilu ini.

Proton Sembilu 1994_BM_00013Proton Sembilu 1994_BM_00001
Jadi apa pengakhiran projek Wira Sembilu ini? Adakah benar seperti khabar yang bertiup dibatalkan kerana bantahan JPJ? Agak tidak masuk akal sebenarnya dakwaan “Bantahan dari JPJ” berkenaan. Bahkan ketika ini proses homologasi JPJ tidaklah serumit sekarang.

Pada era ini, EON Motorsport turut ada menjual kereta baru dengan rollcage dan juga suspensi rali untuk perlumbaan yang boleh dibeli dengan sistem pembiayaan bank yang sama seperti membeli kereta baru biasa di bilik pameran. Mereka tidak perlu bersusah payah untuk membuat proses VTA dengan JPJ seperti pasukan R3 menghasilkan Satria Neo Clubsport yang juga hadir dengan rollcage.

Sebenarnya ada beberapa produk yang terhasil dari projek Wira Sembilu ini. Antaranya kit turbo bolt-on berkenaan akhirnya dijual dalam pasaran oleh EON Motorsport. Kit turbo tersebut dibangunkan bersama antara EON Motorsport dan juga Mosselmann Turbo System dari Belanda.

Kit ini direka khas agar ia boleh terus dipasang pada mana-mana enjin 4G92 1.6 single cam Proton dengan mudah secara plug & play. Ia terdiri dari pengecas turbo dari Garret, manifold ekzos untuk pemadanan turbo, unit intercooler bersama hos-hos dan paip-paip yang diperlukan serta kotak komputer enjin yang telah ditala bagi disesuaikan dengan sistem turbo tersebut.

Menerusi graf dyno yang dikongsikan dalam iklan yang disiarkan untuk kit turbo EON Motorsport ini, ia berupaya untuk meningkatkan kuasa asal enjin 4G92 tersebut dari sekitar 100 PS kepada 122 PS, dan tork maksima asal sekitar 150 Nm kepada lebih 200 Nm!

Proton Sembilu 1994_BM_00010Proton Sembilu 1994_BM_00009Proton Sembilu 1994_BM_00005
Prototaip Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited. Foto ehsan kru EON Motorsport dan PERT, Md Masshoud bin Umar yang dimuat naik oleh anaknya, Amirul Hadi dari Apa Khabar Proton Lama Hari Ini
Sembilu juga merupakan asas kepada penghasilan model prestasi pertama dari Proton iaitu Proton Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited yang muncul pada 1995. Ia merupakan model edisi terhad yang dihasilkan hanya 2,500 unit dan terus dihomologasikan kepada FIA sebagai jentera rali.

Untuk pengetahuan anda, sebelum versi produksi dilancarkan, versi prototaip Wira 1.8 Limited yang menerima sentuhan EON Motorsport sebenarnya menggunakan rekaan skirt sisi dan juga spoiler belakang yang sama dengan Wira Sembilu.

Prototaip berkenaan juga turut menyaksikan Wira 1.8 Limited ini sebenarnya dirancang hadir standard dengan lips bampar hadapan, tombol gear kemasan gentian karbon dan juga set meter ‘tiga beradik’ yang diletakkan di bawah radio pada konsol tengah.

DSR Proton Wira C99 LE_Ext-3_BMDSR Proton Wira C99 LE_Ext-8_BMDSR Proton Wira C99 LE_Int-1_BM

Model produksi sebenar Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited 1995

Namun ketika dilancarkan, tiada lips hadapan dan skirt sisi tidak diberikan, rim aloi dari AAC yang hanya berdiameter 14-inci dan rekaan spoiler ‘tiang gol’ di belakang diubah. Manakala pada bahagian kabin, kerusi Recaro Njoi masih dikekalkan dengan corak fabrik yang seakan sama dengan Sembilu, tombol gear ditukar dengan tombol gear Momo, roda stereng Momo tiga jejari masih dikekalkan, tetapi tiada meter “tiga beradik” pada konsol tengah.

Untuk enjin, unit 4G93P DOHC pada Wira 1.8 Limited ini berupaya menghasilkan kuasa 140 PS dan tork maksima 167 Nm – 18 PS lebih berkuasa namun tork yang dihasilkan kurang sekitar 30 Nm berbanding enjin 1.6L dengan sistem turbo EON Motorsport.

Ketika dilancarkan, Proton Wira 1.8 Limited ini dijual pada harga RM73,000 – agak mahal pada era berkenaan kerana ketika itu model-model jenama import turut dijual dalam julat harga yang lebih kurang sama. Bayangkan sekiranya aksesori penuh yang dipadankan pada versi prototaip dipadankan pada versi produksi, harganya mungkin boleh mencapai sehingga RM80k!

BACA:

“Saya kena buang kerja tapi tak sampai hati nak bagitau wife, 3 bulan terpaksa berlakon”, pemuda ini luah keperitan zaman PKP

“Aku tak sangka, patutlah bila mahu melakukan hubungan kelamin dia menolak, rupa-rupanya ini kerja isteri aku..”