Lama menyepikan diri, ini kisah peribadi bekas YDP Agong yang ramai tak tahu. C erita tentang Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa hari ini telah mengejutkan ramai pihak.
Perkara yang dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara hari ini telah tular sejak petang tadi.
Artikel ini akan mengimbas kembali siapakah Sultan Muhammad V dan mengenal secara dekat peribadi Sultan yang berjiwa rakyat dan disayangi ramai ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V juga dikenali sebagai Tengku Muhammad Faris Petra, diputerakan pada 6 Oktober 1969 ialah Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Sultan Kelantan ke-29 yang dimasyhurkan pada 13 September 2010 bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.
Baginda mempunyai 3 orang adinda iaitu Yang Teramat Mulia (Tengku Mahkota) Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Sultan Ismail Petra, dan Yang Amat Mulia Tengku Amalin A’ishah Putri binti Sultan Ismail Petra.
Kehidupan awal
Diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran Baginda di Alice Smith School Kuala Lumpur.
Baginda telah berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya Baginda melanjutkan pengajian ke Kolej St Cross, Oxford dan Pusat Oxford untuk Pengajian Islam untuk kajian diplomatik. Baginda menamatkan pengajian pada tahun 1991.
Kerjaya
Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat).
Sultan Kelantan
Pada 13 September 2010, baginda telah diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan ke-29, mengikut Perkara 29A Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun.
Baginda mengambil nama Sultan Muhammad V. Walau bagaimanapun, ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan pelantikannya tidak mengikut Perlembagaan. Sultan Ismail Petra sedang sembuh daripada strok yang dialaminya pada tahun 2009.
Sultan Muhammad V telah menghadiri Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan sebagai Sultan oleh raja-raja lain.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Pada tanggal 13 Disember 2011, baginda telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah pula ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14. Istiadat mengangkat sumpah jawatan dijalankan di Istana Negara Kuala Lumpur.
Yang di-Pertuan Agong
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
Pada 24 April 2017, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada usia 47, baginda adalah Yang di-Pertuan Agong termuda keempat yang ditabalkan selepas Tuanku Syed Putra dari Perlis, Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu dan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah.
Pada 2 November 2018, baginda beristirahat menjalani rawatan sehingga 31 Disember. Disebabkan oleh kegeringan baginda, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengambil alih tugas baginda sebagai Pemangku Raja selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Malaysia sepanjang ketiadaan baginda.
BACA:
Aliff Syukri kecam isteri sendiri pakai selekeh, sekali orang ramai tampil backup berjemaah