Dah macam kerja kerajaan! Sime Darby ‘offer’ gaji RM3000 untuk pekerja ladang.
Sime Darby Plantation Bhd (SDP) sudah mula menawarkan gaji minimum RM3,000 dalam operasi perladangan dengan setakat ini kepada kira-kira 400 kakitangannya.
Ia dalam usaha syarikat perladangan itu mencapai sasaran 100 peratus tenaga kerja tempatan menjelang tahun 2027.
Langkah itu selaras dengan usaha syarikat menarik warga tempatan, khususnya belia menyertai sektor perladangan secara berperingkat, sekali gus mengurang pergantungan kepada buruh asing.
SDP berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif kumpulan untuk memperkenal serta melaksanakan lebih banyak proses mekanisasi, automasi dan pendigitalan.
Syarikat itu berkata, transformasi berkenaan tentunya memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir yang terlatih dan mempunyai sijil kelayakan yang sesuai dari institusi pendidikan yang diiktiraf.
“Mereka juga sewajarnya dibayar gaji yang setimpal dengan kemahiran untuk mengendalikan jentera dan teknologi perladangan yang baharu.
“Dengan pendapatan minimum RM3,000 kami sasarkan bagi tenaga kerja mahir ini serta transformasi perladangan yang sedang dilaksanakan.
“Kami percaya ia dapat menarik minat lebih ramai lagi warga kerja tempatan yang berkemahiran untuk terbabit diri dalam industri perladangan,” katanya katanya kepada BH menerusi emel baru-baru ini.
Menurut SDP, operasi perladangannya ketika ini sudah pun memiliki ramai warga belia yang bekerja dengan syarikat pembekal teknologi canggih seperti dron yang mana terbabit dalam inisiatif transformasi perladangannya.
“Terdapat juga lebih 400 tenaga kerja tempatan yang kini berkhidmat sebagai pakar jentera perladangan dan dibayar gaji purata sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya.
Sebelum ini Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha, berkata SDP merancang mengambil 100 peratus pekerja tempatan menjelang akhir 2027 dengan tawaran gaji minimum sebanyak RM3,000.
Mengulas lanjut SDP berkata, mereka adalah pelajar lepasan kolej, politeknik, universiti serta institusi pendidikan seumpamanya yang sudah melalui latihan kemahiran teknikal bersesuaian oleh vendor pembekal jentera dan teknologi sebelum ditugaskan ke operasi perladangan terbabit.
“Pakar jentera ini juga tidak terikat dengan satu ladang sahaja, malah boleh berkhidmat untuk ladang-ladang lain.
“Dengan kepesatan transformasi yang sedang dilaksanakan, kami menyasarkan jumlah pakar jentera ini akan terus meningkat kepada lebih 900 orang warga kerja tempatan pada tahun ini,” katanya.
Tambahnya, sejak 1 Mei tahun lalu, gaji minimum pekerja Sime Darby Plantation di operasi perladangan mereka di seluruh Malaysia adalah RM1,500 sebulan.
“Pekerja juga diberikan insentif pendapatan berdasarkan prestasi produktiviti mereka. Setiap pekerja di operasi perladangan juga menikmati pelbagai lagi faedah seperti tempat tinggal dan rawatan perubatan yang diberikan secara percuma dan kemudahan-kemudahan lain seperti pengangkutan anak-anak ke sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan fasiliti rekreasi untuk kehidupan yang selesa,” katanya.
BACA:
Konflik tak berkesudahan Shuib dan Sepahtu sekali pihak pengurusan terpaksa masuk campur