Ini wajah pemuda yang dirindui seluruh rakyat Malaysia, Ini latarbelakang dia bukan calang-calang orangnya.
Sekalipun sudah enam tahun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijemput oleh Sang Pencipta untuk menetap di negeri abadi,
namun, keperibadian menawan Allahyarham sehingga ke saat ini masih melekat di sanubari rakyat Kelantan.
Allahyarham bukan hanya seorang tokoh politik yang telah mentadbir sebuah negeri yang sinonim dengan jolokan Serambi Mekah,
sebaliknya, jauh lebih utama, Nik Aziz di mata rakyat negeri itu adalah seorang bapa yang tidak pernah jemu mengajar anak-anaknya makna kemanusiaan.
Bahkan, ketekunan Nik Aziz sepanjang hayatnya mendalami Islam juga membuatkan rasa hormat segenap lapisan masyarakat pada Allahyarham tidak pernah pudar sekalipu selepas pemergian beliau.
Realitinya, Allahyarham Nik Aziz adalah seorang pemimpin yang sentiasa memberikan teladan dan contoh yang baik kepada rakyat.
Dalam kehidupan seharian, Allahyarham adalah seorang yang amat mementingkan ketepatan waktu.
Perkara ini dikongsi Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud yang menyatakan kekagumannya dengan Allahyarham Nik Aziz begitu menepati masa serta tidak pernah lewat seminit jika berjanji.
“Di antara keistimewaan Tok Guru ialah masa dia cukup tepat. Sejarah saya bersama Allahyarham ialah sejak tahun 1995 hingga 2015 saya jadi wakil rakyat sehinggalah Allahyarham meninggal dunia, tak pernah Tok Guru lewat walau seminit.
“Kalau mesyuarat bermula pukul 9 pagi, pukul 9 beliau sudah ada, sekalipun jadual padat, beliau tak pernah lewat,” katanya berkongsi pengalaman mendampingi Allahyarham Nik Aziz atau Tok Guru sempena mengingati enam tahun pemergian tokoh tersohor negara itu.
Selain seorang yang sentiasa menghormati masa, Nasuruddin juga amat berbangga dengan legasi kepimpinan membangun bersama Islam yang diperkenalkan oleh Nik Aziz semasa menjadi Menteri Besar masih lagi menjadi pegangan kerajaan negeri Kelantan
Menurut Nasuruddin, antara perubahan besar sewaktu Nik Aziz mula-mula menjadi Menteri Besar Kelantan ialah, Allahyarham telah mengeluarkan kesemua wang kerajaan negeri, wang gaji beluau dan sebagainya dari bank konvesional dan menyimpannya di bank yang berlandasakan perkhidmatan patuh syariah.
Tindakan Nik Aziz mengeluarkan kesemua simpanan tersebut, kata Nasuruddin, menyebabkan pengurus bank konvensional bertanya hal itu kepada Allahyarham.
Akur dengan keputusan Allahyarham menyebabkan bank-bank konvensional mula memperkenalkan sistem perbankan patuh syariah.
Selama mentadbir Kelantan juga, Allahyarham Nik Aziz, kata Nasuruddin, meninggalkan banyak contoh baik.
Antaranya, jelas beliau, sesi kuliah Jumaat pada setiap minggu di Medan Ilmu yang dirintis Allahyarham Nik Aziz sebelum beliau menjadi Menteri Besar masih kekal diadakan sehingga ke saat ini.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Malik Abd Karim pula berpendapat, Allahyarham Nik Aziz merupakan seorang murrabi ummah sepanjang masa.
Kata Abdul Malik, anak-anak muda yang pernah dewasa di zaman pemerintahan Tok Guru cukup menghormati Allahyarham bukan sahaja kerana ketokohannya, sebaliknya, menganggap beliau sebagai bapa kekuatan agama Islam.
“Tok Guru bila kita tengok dari jauh, beliau kelihatan bekeng (garang), tetapi bila kita rapat, kita tahu jiwa beliau sebagai seorang bapa dan kita dapat merasakan beliau bukan sahaja ketua kerajaan, sebaliknya, bapa kepada anak-anak.
“Selain itu, amalan kerohanian Allahyarham juga beri aspirasi kepada kami orang-orang muda,” ujar Abdul Malik lagi.
Katanya, Allahyarham Nik Aziz diminati dan dihormati oleh golongan muda kerana sifat kesederhanaan dan ketegasan beliau.
Pada tarikh hari ini enam tahun lalu, Allahyarham Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 84 tahun di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu sekitar pukul 9.40 malam kira-kira sejam selepas pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.
Allahyarham yang lahir pada 1931 di Kampung Pulau Melaka dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Lebih mesra dipanggil sebagai ‘Tok Guru’, Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.
Kehidupan Allahyarham sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar selama 23 tahun.
Selama menjadi Menteri Besar Kelantan, sokongan rakyat tidak berbelah bahagi sehingga Pas mampu mengekalkan pentadbiran sehingga sekarang.
Pemergian tokoh ulamak dan pemimpin politik yang disegani kawan dan lawan itu sentiasa diingati oleh sebahagian besar rakyat Kelantan.
Kepada rakyat Kelantan, sosok keperibadian Allahyarham tiada galang gantinya.
Selamat berehat di negeri abadi Tok Guru.
Al-Fatihah buat Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
BACA:
Sebenarnya nenek moyang orang Korea berasal dari Tanah Melayu, betul ke? Ini jawapannya
Boleh ke kaum cina di Malaysia balik China terus jadi warganegara? Betul ke?