Hasrat peniaga buat open house tidak kesampaian, apa yang menimpa undang sebak netizen.
Hasrat seorang peniaga mengadakan jamuan Aidilfitri di kedai makan miliknya, hari ini, tidak kesampaian apabila premis perniagaannya di Lorong Tanjung Api 12, Kampung Tanjung Api, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.
Kejadian pada jam 7.23 malam itu menyebabkan kedai dua tingkat musnah manakala dua lagi rosak teruk.
Pemilik kedai makan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan, Rosleda Yassin, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan kedai makan serta rumah ibunya musnah 100 peratus.
Katanya, kedai terbabit bercantum dengan rumah ibunya yang didiami oleh pekerja serta anak saudara, selain menjadi rumah rehat untuk ahli keluarganya.
“Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari Gambang ke rumah berkenaan selepas menjemput ibu dari pondok agama sebelum menerima panggilan telefon daripada pekerja yang memaklumkan kejadian itu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran manakala pekerja saya pula berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Menurut pekerjanya, Rosleda berkata, asap bermula daripada bahagian rumah, namun api marak dengan cepat sehingga dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.
Justeru, beliau kini buntu memikirkan untuk berniaga semula berikutan kedai dan semua barang perniagaan musnah.
“Arwah ayah memulakan perniagaan kedai makan ini kira-kira 30 tahun lalu sebelum saya mewarisinya 15 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Abul Muhaimin Abdul Halim, 29, berkata, keluarganya merancang untuk mengadakan jamuan hari raya di kedai berkenaan hari ini, malah semua keperluan sudah disediakan.
“Kalau ikutkan hari ini pelanggan tidak perlu membayar makanan yang dimakan, sebab niat kami memang menjamu pelanggan namun tidak sempat dilakukan..
“Semua keperluan untuk memasak menu nasi minyak dan nasi dagang untuk jamuan itu sudah pun disiapkan tetapi semuanya musnah terbakar.
“Ketika kejadian saya cuba nak masuk selamatkan barang-barang berharga tetapi dihalang oleh isteri. Api sangat marak jadi saya tidak mampu buat apa-apa dan hanya mampu menangis melihat keadaan itu,” katanya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 29 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Sebanyak lapan jentera digunakan dalam operasi berkenaan termasuk jentera untuk membantu kebakaran dengan teknik ‘water tower’,” katanya.
BACA:
SPRM bawa balik orang kanan Jho Low sekali lain pula yang jadi di Airport
Ketua Komunikasi PM dipecat? Ini punca buat ramai rakyat nak tahu