‘Suruh aku advance gaji bulan yang dah lepas?’, ingatkan masalah air dan jalan je, Kelantan FC pun masalah juga tak bayar gaji pemain?
Selepas bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mendedahkan situasi ‘di belakang tabir’,
The Red Warriors (TRW) terus berdepan tamparan apabila tiba giliran pemainnya pula melakukan perkara sama.
Penjaga gol pasukan itu, Farhan Abu Bakar mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam pasukan itu yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Penjaga gol kebangsaan itu mengakui hairan kerana perlu meminta wang pendahuluan sedangkan pasukan itu sedang berdepan tunggakan gaji bagi bulan April.
“Pada Khamis lalu, nama saya tiada dalam senarai pasukan ke Kuala Terengganu untuk perlawanan Piala FA, jadi saya bergerak ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu untuk menghantar anak dan isteri balik ke sana.
“Saya sampai di KL pada jam 8 pagi hari Jumaat. Selepas itu saya masukkan anak dalam rumah, buatkan susu dan tukar lampin Selepas beberapa minit lepas saya keluar rumah tengok-tengok kereta dah hilang.
“Saya hubungi bank dan mereka sahkan menarik kereta saya. Selepas itu saya hubungi Boszam (Norizam Tukiman) untuk meminta bantuan sebab sebelum ini dia pernah cakap dan buat posting di Facebook, di mana kalau perlukan duit boleh ‘call’ saja dia,” kata Farhan.
Namun Farhan terkejut apabila Norizam bertanyakan sama ada dia berada dalam pasukan sedangkan penjaga gol itu menjalani latihan bersama pasukan pada setiap hari.
“Kemudian dalam pukul 11 malam hari Jumaat itu juga, gaji masuk tetapi pengurusan bayar separuh saja untuk gaji bulan April. Gaji saya cuma RM5,500 saja sebulan, jadi mereka hanya bayar RM2,750.
“Kalau nak ikutkan, mana cukup untuk saya ambil balik kereta kerana saya kena bayar RM3,960 untuk ambil balik dari pihak bank. Jadi bila saya hubungi bahagian kewangan pasukan, mereka boleh pula suruh saya mohon wang pendahuluan, sedangkan yang saya minta itu gaji saya.
“Itu baru cerita pasal diri saya, belum lagi pemain-pemain lain. Saya boleh cakap, tak ada satu pun benda baik yang saya boleh kongsi pasal pengurusan.
“Dia seolah tak ada berperikemanusiaan. Ada juga pasukan lain yang saya main sebelum ini berdepan masalah gaji tetapi mereka ada sikap perikemanusiaan,” katanya.
Sebelum menyertai Kelantan FC, Farhan pernah beraksi dengan beberapa pasukan antaranya Kedah, PJ Rangers dan dan PKNS FC.
Selain itu, Farhan turut berkongsi audio perbualan di laman media sosialnya dipercayai antara bekas pemain ataupun jurulatih dengan pengurusan pasukan itu.
Dalam audio terbabit, individu dipercayai wakil pengurusan menghamburkan kata-kata kurang enak selepas bekas pemain ataupun jurulatih itu meminta gajinya.
BACA:
PTPTN dedah ada IPT swasta tipu tempoh pengajian demi keuntungan berlipat ganda
Gara-gara tak beri anak main gadget, bapa terpaksa tunggu 47 tahun untuk ‘unlock’ iPad