Nilai kekayaan Elon Musk cecah RM1 trillion! Ini kisah perniagaan Elon Musk sejak dari umur 12 tahun.
DALAM dunia perniagaan dan teknologi, nama Elon Musk tidak lagi asing.
Walaupun statusnya hanya sebagai teknokrat dan ahli perniagaan, dia lebih popular daripada selebriti dan lebih berpengaruh daripada ahli politik.
Baru-baru ini, Musk telah melakukan sesuatu yang dianggap mustahil apabila berjaya mengatasi nilai kekayaan pengasas Amazon, Jeff Bezos sekali gus meraih gelaran orang terkaya dunia dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2022.
Setakat 7 April 2022, nilai kekayaan Musk mencecah AS$219 bilion (RM923.5 bilion). Bezos pula mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$171 bilion (RM721 bilion).
Relevan membawa anda bersama menelusuri kisah di sebalik kejayaan individu dengan seribu idea futuristik ini, dari awal usianya sehinggalah kini menjadi manusia terkaya dalam dunia.
Permulaan empayar perniagaan
Elon Musk mula menjual hasil rekaannya seawal umur 12 tahun. Dia bekerja keras menghasilkan kod bagi sebuah permainan video dan menerima AS$500 (RM2,109.15) tunai hasil jualan permainan tersebut.
Selepas rangkaian internet mula menguasai dunia, Musk dan abangnya, Kimbal membangunkan syarikat Zip2 yang berperanan mencipta perisian panduan bandar untuk syarikat akhbar dalam talian. Lima tahun kemudian iaitu pada 1999, Compaq Computer Corporation membeli Zip2 dengan harga AS$300 juta (RM1.27 bilion).
Namun, Musk tidak duduk diam menikmati kekayaannya sahaja. Dia membuat keputusan untuk menguruskan kekayaannya dengan baik dan menubuhkan bank dalam talian, X.com pada tahun sama yang kemudiannya digabungkan dengan syarikat perisian, Confinity pada 2000 untuk membentuk PayPal. Dua tahun kemudian, eBay membeli PayPal dengan harga AS$1.5 bilion (RM6.33 bilion).
SpaceX
Menjelang 2001, Musk mula berminat dengan penerokaan angkasa lepas. Dia mula membuat projek yang dinamakan Mars Oasis. Mars Oasis merupakan projek eksperimen rumah hijau mini yang bertujuan menguji kemampuan tumbuhan untuk hidup di planet Marikh. Benih tumbuhan di dalam gel ternyahhidrat disimpan di dalam rumah hijau mini tersebut sebelum ia dihantar ke Marikh.
Mars Oasis dilaksanakan untuk menjadikan penerokaan angkasa lepas sebagai tarikan utama masyarakat. Dia cuba memulakan projek ini dengan bantuan pakar dan pereka aeroangkasa Rusia tetapi gagal meyakinkan mereka. Musk kemudiannya mengambil alih dan melancarkan SpaceX sendiri.
Selepas empat tahun SpaceX ditubuhkan, Musk mula menjalinkan kerjasama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA). Pada 2012, SpaceX Dragon menjadi kapal angkasa pertama yang dibina secara komersial untuk dilancarkan dan diletakkan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Tesla
Tesla pada awalnya adalah sebuah syarikat kereta yang dibentuk oleh Martin Eberhard dan Marc Tarpenning. Pada 2014, syarikat itu sedang mencari pembiayaan Siri A. Musk memutuskan untuk menyahut cabaran itu dan menyediakan wang untuk Tesla serta menyertai lembaga pengarah syarikat sebagai pengerusi.
Bermula dengan pembiayaan, Musk kemudiannya melibatkan diri dengan lebih aktif dalam syarikat itu. Walaupun tidak terlibat dengan banyak operasi harian, dia menyelia pembangunan Roadster dan kenderaan lain. Selepas pemergian Eberhard, Elon mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pada 2008.
Pada tahun yang sama, model pertama Tesla Roadster membuat penampilan sulungnya. Tesla mula mencipta pelbagai model kenderaan elektrik dengan lebih giat. Saban tahun, nilai kekayaan Musk meningkat dan Tesla merupakan faktor terbesar kepada peningkatan harta pemiliknya.
Elon Musk mungkin dijulang tinggi sebagai adiwira untuk sesetengah pihak dan ada juga yang melihatnya sebagai antagonis.
Namun, satu perkara yang tidak dapat dinafikan, Musk bekerja keras dalam usahanya membina kekayaan sehingga sampai ke tahapnya sekarang. Siapa sangka, dengan inisiatif mencipta permainan video pada umur 12 tahun, kekayaannya membesar sehingga menjadi antara teknokrat terpenting dunia.
BACA: