Dengan hanya bermodalkan RM1, RM1 jenis ini rupanya bernilai RM6000 buat ramai melopong
Ramai yang ‘melopong’ apabila wang kertas RM1 bermula dengan nombor siri CR7200000 ditandatangani Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman boleh mencecah harga RM6,000 sekeping.
Begitu juga wang syiling edisi terhad 10 sen keluaran tahun 1971 boleh mencecah RM500 sekeping di pasaran.
Apa yang pasti nilai mata wang lama ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit jika koleksinya adalah pengeluaran terhad dan sangat sukar diperolehi.
Pakar Numismatik Malaysia, Dickson Niew berkata, ramai yang tidak menyedari wang lama menjadi buruan berikutan boleh dijadikan pelaburan berikutan nilainya tidak menyusut.
Menurutnya, pengumpulan wang lama ini pada asalnya adalah hobi pemimpin negara termasuk raja di seluruh dunia sebelum ia diikuti pengumpul dalam kalangan individu.
“Di Malaysia, penyertaan bidang numismatik ini hanya disertai400 individu aktif. Namun hobi ini amat berbaloi kerana nilainya tidak susut selagi disimpan dengan betul dan memenuhi syarat.
“Dianggarkan purata kenaikan nilai wang lama ini mencecah 20 peratus setiap tahun. Trend ini meningkat sejak 1976 hingga 2016 dan tidak pernah turun,” katanya.
Katanya, faktor penentuan nilai wang lama itu bergantung kepada kondisi kualiti, edisi jarang jumpa, keluaran terhad, nombor siri cantik, wang gantian dan penilaian gred dari Paper Money Guaranty (PMG) serta Numismatic Guaranty Corporation (NGC).
“Wang lama yang menjadi buruan ialah jenis susah dapat dan jarang jumpa seperti edisi perkataan Sa-Ribu Ringgit tanda tangan Tun Ismail Mohamed Ali yang dikeluarkan pada 1968 dan harganya sekarang boleh cecah RM120,000 sekeping kalau tak pernah dilipat langsung.
“Edisi terhad seperti 10 sen keluaran 1971 yang hanya ditempa 32,000 keping juga antara menjadi buruan dengan harga boleh mencecah RM500 sekeping pada hari ini,” katanya.
Katanya, ketulenan dan kondisi wang lama yang mendapat pengesahan serta pengredan daripada syarikat bertauliah di luar negara seperti PMG dan NGC juga harganya mahal sehingga menjadi buruan.
“Ini bermakna, kalau tak pernah diedar dan masih dalam keadaan elok termasuk tiada lipatan atau kurang lipatan maka nilainya boleh mencecah lagi tinggi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kedua Persatuan Numismatik Malaysia berkata, dalam keadaan tertentu wang lama menjadi rebutan disebabkan ralat semasa proses pengeluaran seperti tersalah cetakan atau terlepas edaran serta tempoh masa jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) singkat.
“Misalnya, wang kertas RM1 bermula dengan nombor siri CR7200000 yang ditandatangani Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman pada 1999 ditarik balik oleh BNM, tetapi ada terlepas 50,000 keping di pasaran.
“(Wang RM1) ini ramai orang cari kerana tempoh beliau pegang jawatan singkat iaitu antara September 1998 hingga April 2000, maka wang RM1 zaman itu harganya mencecah RM6,000 sekeping, lipat sekali (RM3,000) manakala lipat dua kali (RM2,000).
“Selain itu, syiling 50 sen (bahagian sisi milled edge sepatutnya security edge) 1967 hingga 1969 disebabkan kesilapan ketika proses tempa di Kilang Royal Mint United Kingdom,” katanya.
Katanya, wang lama juga tidak digalakkan dicuci kerana boleh mengubah kondisi asalnya sekali gus mempengaruhi nilainya.
“Memang ada bahan kimia khas bagi membersihkan wang lama seperti wang kertas, tetapi kita lebih melihat keasliannya walaupun rupanya buruk tetapi menarik dan bernilai berbanding sudah dibersihkan,” katanya.
Telusuri sejarah wang zaman Kesultanan Melayu
Biarpun Malaysia secara rasmi mengeluarkan mata wang pertama selepas 10 tahun mencapai kemerdekaan namun ia sebenarnya wujud sejak zaman Kesultanan Melayu.
Sistem penggunaan mata wang menerusi bentuk kepingan logam emas, perak dan timah dipercayai wujud di Tanah Melayu sebelum Portugis menawan Melaka pada 1511.
Berdasarkan sejarah, syiling pertama dikeluarkan semasa pemerintahan Sultan Muzzafar Shah sekitar 1445 sebelum mata wang British diperkenalkan pada abad ke-19.
Pakar Numismatik Malaysia, Dickson Niew berkata, Malaysia mengeluarkan mata wang pertama pada 12 Jun 1967 serentak dengan Brunei dan Singapura selepas tiga negara membentuk kerajaan masing-masing.
Menurutnya, sistem mata wang mula digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu, namun masih banyak khazanah itu belum ditemui dan direkodkan.
“Persatuan Numismatik Malaysia dengan kerjasama beberapa pihak termasuk ahli sejarah dan agensi berkaitan giat melakukan kajian di sekitar Semenanjung bagi mengumpul mata wang terawal negara yang belum ditemui dan direkodkan.
“Sepanjang kajian, kami menemui kupang dan mata wang ketika zaman Sultan Muzaffar Shah, Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah, Sultan Abdul Jamal serta Sultan Alauddin Riayat Shah.
“Namun jika mengikut susur sejarah Kesultanan Melayu, bermakna masih banyak syiling belum ditemui dan direkodkan di Muzium Negara. Justeru, kita buat kajian bagi mengumpul maklumat beberapa fakta termasuk mengesahkan kewujudan sultan berkenaan.
“Ini termasuk apa yang berlaku terhadap Sultan Alauddin. Masih ada tertanya-tanya sama ada baginda dibunuh, hilangkan diri atau lari. Semua itu kita masih mengkaji,” katanya.
Beliau berkata, kajian itu turut menggunakan beberapa teknik bagi menentukan ketulenan syiling lama yang mempunyai kaitan dengan sejarah Kesultanan Melayu.
“Ada beberapa teknik bagi menentukan ketulenan wang itu datang dari zaman Kesultanan Melayu. Pertama dengan melihat ukiran khat jawinya.
“Memang kalau kita perhatikan sesetengah syiling lama itu nampak hodoh tetapi yang penting keasliannya diukir halus menggunakan pahat kerana zaman itu tiada mesin,” katanya..
Setakat ini, katanya, kajian itu mencapai 80 peratus dalam aspek pengumpulan maklumat serta memerlukan 20 peratus lagi maklumat pada zaman Sultan Kedah, Perlis dan Pahang.
“Ada 20 peratus lagi maklumat perlu kita gali termasuk jokoh dan pitis. Jika wang jokoh timah, terdapat 100 jenis di Pahang sahaja.
“Kami harap dapat menghimpunkan semua koleksi wang lama ini di Muzium Negara serta menerbitkan sebuah buku sebagai rujukan semua pihak terutama generasi akan datang,” katanya.