Kenapa orang tua kita sangat memanjakan cucu sendiri? Padahal ketika usia mudanya garang ya amat!
Ibu mana tidak teruja tatkala mendapat berita anak atau menantunya mengandung. Kalau tak percaya, lihatlah saat-saat melahirkan nanti. Bagaimana teruja dan resahnya mereka ini menantikan proses kelahiran.
Mungkin mereka sendiri sudah melalui pengalaman itu, maka wanita penyayang ini dapat rasakan ‘saat-saat hidup dan mati’ itu tatkala anak atau menantu mereka pula melaluinya.
Kemudian, lihat pula bagaimana riak wajah bahagia dan bersyukurnya mak-mak kita itu apabila menatap wajah cucunya. Betapa girangnya tidak terkata. Dipeluk, dicium, dibelai seolah-olah mereka pula yang melahirkan si kecil itu.
Usai dibawa pulang ke rumah, nah lihat bagaimana mak-mak kita terlebih terujanya menjaga, mendodoi dan memastikan segala kelengkapan si anak teratur rapi. Aduhai, inilah waktu paling berharga yang tidak akan dilepaskan
Bukanlah kata mak kita dulu tidak menghargai kelahiran anaknya sendiri. Namun, ia ternyata dua perkara dan situasi berbeza. Bayangkan anak yang mereka kandung itu pula akan memberi mereka satu ‘permata’ penyambung keturunan dan pewaris. Tentulah ia menjadi satu kegembiraan berganda.
Pada usia yang semakin senja dengan pengalaman hidup yang terlalu panjang, pastinya mak-mak kita lebih mudah tersentuh emosinya tatkala melihat zuriat keturunannya lahir di muka bumi ini.
Tiada masa lagi untuk mereka bertegas-tegas dengan cucu sendiri. Yang paling penting saat ini adalah melayani kerenah cucu-cucu dengan cara paling manis agar mereka dapat menikmati kenangan itu secara sihat dan positif.
Biarlah cucu-cucu nanti kenang akan sikap yang baik-baik sahaja tentang
nenek mereka; yang penyayang, lemah-lembut, baik hati dan memahami.
Membesar dan mendidik anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan berpuluh tahun hatta selepas anak-anak sudah memasuki alam rumahtangga sekali pun.
Justeru, selesai melaksanakan tanggungjawab itu, seorang ibu pastinya akan berasa lelah untuk setiap apa yang pernah mereka lakukan ketika membesarkan anak-anaknya dulu. Adakah kita suka untuk mengulangi proses yang melelahkan itu sekali lagi? Maksudnya, kepada cucu pula?
Inilah juga antara faktor kenapa, mak-mak kita tidak melayan cucu sama seperti mereka melayan anak-anaknya dulu? Kalau dulu, dengan anak sangat tegas, garang dan dididik penuh disiplin.
Berubah 360 darjah, apabila dengan cucu pula, mereka lebih lembut, banyak beralah, memanjakan dan tidak sesekali mahu menjentik cucu-cucu itu. Ada pula nenek yang akan menjerit memarahi anaknya kalau mereka marahkan cucunya itu.
Pada usia ‘pencen’ atau lebih santai ini, kebanyakan nenek akan berada dalam keadaan lebih relaks dan kurang tekanan. Tidak seperti kita yang sedang melalui fasa kehidupan serba tertekan dengan pelbagai komitmen dan tugasan seperti kerja dan tanggungjawab lainnya.
Fasa ini berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk mak ayah kita dulu. Kerana itu, cara layanan nenek kepada cucu akan menjadi lebih santai dan tenang berbeza layanan ibu kepada anak yang lebih tegas dan menekan.
Selalu bukan kita dengar apabila mak-mak sudah tua dan tidak lagi bekerja, mereka akan kata mahu habiskan masa dengan anak cucu. Itulah yang berlaku kepada mereka secara realiti. Masa banyak dihabiskan dengan bermain dengan cucu-cucu.
Ada beza ‘bermain’ dengan ‘menjaga’. Bermain maknanya mereka hanya mahu meraikan kegembiraan bersama cucu-cucu. Kalau kata ‘menjaga’ ia umpama melalui proses mereka dulu menjaga anak-anak.
Di sinilah, kita sebagai anak harus mengerti. Jika mak kita kata mahu bersama cucu, bukan bermakna kita harus meletakkan penjagaan harian di bawah tanggungjawab mereka, cukuplah anak-anak dijadikan ‘bahan hiburan’ untuk nenek dan atuk mereka.
Jangan sampai hiburan itu bertukar menjadi tekanan kepada mereka. Jangan ambil kesempatan atas kelembutan hati mereka.
Mengulangi Apa Yang Mereka Tidak Sempat Lakukan
Kemungkinan juga ini faktor kenapa nenek lebih menunjukkan kasih-sayang mereka kepada cucu. Tidak pula dilakukan kepada anak-anak satu masa lalu.
Sesetengah mak ayah ketika muda dulu sibuk dengan pecutan hidup yang berselirat, maka banyak perkara mereka terlepas untuk dilakukan kepada anak-anaknya terutamanya daripada segi meluangkan masa berkualiti bersama.
Kebanyakan anak-anak menghabiskan masa dengan pengasuh atau di sekolah. Mak ayah hanya sempat bertemu muka dengan anak pada waktu malam atau hujung minggu. Itu pun ada kala pada ruang masa yang kurang
Justeru, ketika lahirnya cucu merekalah, masa yang paling sesuai untuk mereka menebus kembali saat-saat lalu yang mereka terlepas untuk lakukan dengan baik. Cucu itu anak kepada anaknya sendiri.
Maka, nikmatnya tetap sama seperti meraikan anak sendiri. Waktu itulah baru nenek mahu memasak makanan yang sedap-sedap untuk cucu-cucu. Membawa mereka berjalan-jalan atau bercuti.
Membelikan apa sahaja yang mereka minta yang dulunya sangat berkira kepada anak sendiri. Dan, inilah masa terbaik mencurahkan sepenuh kasih-sayang yang ada dalam jiwa yang selama ini tertahan dek mahu bersikap lebih berdisiplin kepada anak sendiri.
Apa pun situasinya, sentiasalah bersangka-baik dengan apa jua yang dilakukan mak ayah. Niat mereka baik, walaupun mungkin ada satu dua perkara yang tidak kena dengan caramu.
Bersikaplah diplomasi dan banyakkan mengalah kepada mereka. Gunakan kebijaksanaan untuk memastikan layanan mereka terhadap anak-anakmu tidak akan sampai ‘merosakkan’ mereka.
Bukan tugas nenek atuk untuk mengajar cucu. Namun, jangan pula menidakkan hak mereka terhadap cucu-cucunya. Jadi, mainkan peranan sebaiknya sebagai ibu bapa juga anak kepada mak ayah yang sudah semakin ‘lemah’ di hujung usianya
BACA: