Tak sama macam dalam filem, ini kisah manusia yang dibesarkan Serigala

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Tak sama macam dalam filem, ini kisah manusia yang dibesarkan Serigala

Buat kaki movie, pasti anda pernah menonton atau sekurang-kurangnya tahu mengenai kewujudan animasi The Jungle Book dan filem Mowgli : Legend of the Jungle,

Dua filem yang diadaptasi dari karya penulis terkenal Britain, Rudyard Kipling iaitu The Jungle Book bukan?

Tak sama macam dalam filem, ini kisah manusia yang dibesarkan Serigala

Jika tak tahu pasti anda boleh tanyakan pada mana-mana ahli pengakap, mereka pasti mampu menjelaskan secara terperinci kisah tersebut.

Filem ini berkisarkan kisah seorang anak kecil bernama Mowgli yang tercicir oleh ibu bapanya di sebuah kawasan hutan rimba India sewaktu percubaan melarikan diri selepas diserang harimau.

Anak itu kemudiannya ditemui, diberi makan dan dibesarkan oleh sekawan serigala bersama seekor beruang dan seekor harimau kumbang sebelum akhirnya menjadi sebahagian dari keluarga serigala tersebut.

Namun tahukah anda watak Mowgli di dalam filem tersebut benar-benar wujud di India pada suatu masa dahulu ? Malah ia menjadi inspirasi Kipling dalam menghasilkan bukunya.

Sebelum kita pergi jauh, buat anda yang tidak tahu, penulis terkenal Rudyard Kipling ini sebenarnya dilahirkan dan dibesarkan di India sebelum dihantar ke England untuk menyambung pelajarannya.

10 tahun di sana dia kemudian berkeputusan untuk kembali ke India. Jadi anda sudah faham bukan dari mana lelaki berdarah Inggeris ini tahu mengenai kisah ini.

Berbalik ke kisah Mowgli versi sebenar..

Kisah ‘manusia serigala’ ini mula menjadi sebutan selepas sekumpulan pemburu di Bullandshahr, Uttar Pradesh, India bertemu dengan seorang budak lelaki dalam lingkungan 6 tahun sedang berjalan bersama sekawan serigala pada tahun 1867.

Pelik dengan kejadian tersebut mereka kemudiannya mengekori rapat anak kecil tadi bersama kawanan serigala terbabit pulang ke rumah mereka.

Di situ pemburu-pemburu ini kemudian nekad membunuh kesemua serigala tersebut lalu menculik anak berkenaan tanpa diapa-apakan.

Tanggapan mereka, mereka baru sahaja menyelamatkan seorang budak kecil, namun buat anak tersebut ia adalah sebaliknya. Dia baru sahaja menyaksikan seluruh keluarganya dibunuh dengan kejam oleh manusia.

Di hantar ke rumah anak yatim dan dinamakan Dina Sanichar
Dia kemudian dibawa keluar dan dihantar ke sebuah rumah anak yatim sebelum dibaptis dan diberi nama Sanichar; yang bermaksud Sabtu dalam bahasa Urdu.

Difahamkan nama tersebut dipilih memandangkan Dina ditemui pada hari Sabtu.

Tidak seindah filem
Bermula saat itu kisah Dina tidak seindah filem, dia bukan sahaja bergelut untuk hidup di dunia yang lebih moden, malah dia juga dikategorikan sebagai bebal kerana tahap IQ yang terlalu rendah.

Bukan sahaja tidak pandai menulis dan membaca, dia juga gagal bertutur seperti manusia biasa, sebaliknya hanya mengeluarkan bunyi seperti seekor haiwan.

Malah postur jalan Dina juga lain dari manusia biasa. Dia dilihat sedikit bongkok sewaktu berjalan memandangkan sudah bertahun membiasakan diri merangkak bersama keluarga serigalanya.

Lebih memburukkan keadaan, dia juga gemar berbogel dan tidak begitu gemar disarungkan pakaian.

Jelas Dina bukan hanya terasing, malah dia sentiasa berasa terancam selepas melihat sendiri ‘ahli keluarganya’ dibunuh dan dia secara paksa di bawa pergi dari tempat yang pernah digelarnya sebagai rumah.

Akhirnya pada tahun 1895 di usia 29 tahun, Dina Sanichar dilaporkan meninggal dunia selepas menghidap batuk kering.

Tiada momen indah bertemu wanita idaman seperti dalam The Jungle Book, juga tiada penutup yang indah bergembira bersama keluarga serigala seperti filem Mowgli sebaliknya mati berseorangan di dunia yang begitu asing.

BACA: Patutlah, rupanya ini sebab ramai suka sangat tengok video orang picit jerawat