Tak puas hati dengan Nik Amar, sepupu nekad buka markas PH di perkarangan rumah Nik Amar
Rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan PAS Kelantan mendorong seorang peniaga
Beliau membuka markas Pakatan Harapan (PH) di pekarangan kediaman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Tindakan Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62, yang membuka markas di cabang empat Kampung Panchor, di sini, itu disifatkan kali pertama dalam sejarah kerana selama ini tiada mana-mana markas daripada parti lain selain PAS dibuka di sekitar kawasan berkenaan.
Muhamad Fekri adalah sepupu kepada Mohd Amar yang juga calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor selain calon daripada PH untuk DUN berkenaan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, 50, yang turut mempunyai pertalian saudara.
Lebih menarik, dalam kawasan lot tanah yang sama turut terdapat markas PAS iaitu hanya berjarak beberapa meter sahaja daripada markas PH.
Muhamad Fekri berkata, dia mula membuka pos berkenaan selepas PKR mengumumkan Syed Mohd Alidustur adalah calon PKR yang mewakili PH bertanding di DUN berkenaan melawan Mohd Amar.
“Saya buka markas ini di atas lot tanah yang sama dengan kediaman Mohd Amar tanpa paksaan sesiapa. Mohd Amar adalah sepupu saya, manakala Syed Mohd Alidustur juga saudara saya. Ini dikira tanah ahli keluarga saya juga.
“Sejak lahir sehingga sekarang, ini kali pertama markas parti lain dibuka di kawasan ini kerana tempat ini terkenal dengan kubu PAS sejak dahulu. Tujuan saya berbuat sedemikian kerana tidak berpuas hari terhadap kepemimpinan PAS yang sekarang.
“PAS yang kini bukan lagi PAS yang dulu ketika pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pemimpin sekarang hanya menggunakan nama Allahyarham sedangkan tindakan mereka adalah tidak selari,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Beliau berkata, tindakannya itu disifatkan sebagai politik matang tanpa perlu bergaduh sesama saudara hanya disebabkan politik yang berbeza.
“Saya bagitahu saudara mara yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya. Kita tidak perlu bergaduh hanya disebabkan politik kerana saya hanya bermain politik selama tempoh berkempen sahaja.
“Saya juga tidak bergaduh dengan Mohd Amar kerana setiap kali solat, kami akan solat di masjid yang sama. Ini dikatakan politik matang. Selepas ini sebaik sahaja selesai mengundi, saya akan menutup semula markas ini.
“Jika sebelum ini saya adalah penyokong PAS, namun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya menyokong PH,” katanya.
BACA: Lama menyepi dari dunia hiburan, ini keadaan terkini Buntat