Patutlah orang cina suka sangat dengan nombor 8, rupanya ini sebabnya
MASYARAKAT Tionghua sering mengaitkan nombor dengan maksud tersendiri, ada yang membawa maksud baik dan ada juga sebaliknya.
Antara yang popular sudah semestinya nombor empat yang sering dilabel sebagai nombor malang, tidak membawa tuah.
Justeru, seboleh-bolehnya mereka mengelak dikaitkan dengan nombor itu baik pada nombor plat kereta mahupun nombor rumah.
Itu kisah nombor malang, nombor bertuah juga ada sebenarnya.
Tentu sekali, yang sering disebut nombor paling bertuah bagi masyarakat berkenaan juga adalah nombor lapan.
Kenapa lapan dianggap nombor bertuah? Apa signifikan nombor berkenaan kepada masyarakat berkenaan sehingga angka berkenaan menjadi rebutan?
Berdasarkan pemahaman, nombor lapan dianggap nombor paling beruntung dalam numerologi Cina.
Bunyinya dalam bahasa Cina kedengaran hampir sama seperti ‘memakmurkan’.
Sekiranya ada berganda nombor lapan dalam nombor telefon, plat kenderaan atau rumah, ia dianggap “tuah berganda”.
Tidak hairanlah Sichuan Airlines sanggup membayar sehingga AS$280,000 untuk nombor telefon +86 28 8888 8888 pada tahun 2003. Bayangkanlah berapa harganya sekarang?
Bertepatan dengan tarikh 8 Ogos 2020 (8.8.2020) hari ini, Astro AWANI menyingkap cerita di sebalik kepercayaan masyarakat Cina yang menganggap nombor ini sebagai ‘lucky number’ mereka.
Menurut Pengarah Urusan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Mini Goh Ming Lee, bukan lapan sahaja dianggap nombor bertuah, nombor lain pun juga ada makna tersendiri buat mereka, cuma lapan sering dianggap paling bertuah.
“Ramai orang anggap nombor lapan nombor bertuah kerana bunyinya dalam dialek Kantonis adalah Pátt, hampir sama bunyinya dengan Fátt (menjadi kaya),” katanya.
Tambahnya, dalam navigasi Cina, lapan aspek juga ada di dalamnya iaitu utara, selatan, timur, barat dan empat lagi arah lain.
“Ada lapan arah, jadi ia dianggap menyeluruh. Dalam ‘feng shui’, lapan aspek itu bermaksud memberi kebaikan dalam kelapan-lapan arah.
“Dalam perniagaan pula, jika mahu berjaya sudah tentu bukan dengan hanya bekerja keras tapi juga dibantu sedikit tuah.
“Tuah pula perlu datang dari setiap arah dan di sinilah lapan aspek itu dikaitkan dengan tuah,” katanya kepada Astro AWANI.
Dari segi sejarahnya pula, Ming Lee memaklumkan, pernomboran berasal dari buku klasik berjudul ‘Yi Jing’.
“Buku itu berkisarkan kepada bagaimana dunia ini berfungsi atau ‘yin’ dan ‘yang’. Dari situ, wujud kaitan pula dengan nombor,” ujarnya.
Berikut adalah antara fakta menarik kepercayaan orang Cina kepada nombor lapan:
1. Nombor plat kenderaan yang mempunyai nombor lapan biasanya boleh dijual dengan harga mahal dan boleh mencecah ribuan ringgit!
2. Ia muncul dalam masakan Cina, dengan hidangan yang disebut ‘Eight Treasures’, menjadi kegemaran untuk jamuan makan dan acara istimewa lain.
3. Di China, hadiah-hadiah diberikan dalam jumlah yang sama untuk perayaan semua majlis dan angka lapan pula telah lama dianggap sebagai nombor paling beruntung dalam budaya Cina.
4. Di beberapa kawasan di China, orang lebih suka membayar lebih banyak wang untuk nombor telefon dengan ada angka lapan di dalamnya.
5. Mereka juga menggemari kediaman di tingkat kelapan bangunan.
6. Pada tahun 1990-an, nombor plat kenderaan tertera angka lapan pernah dilelong dengan harga lebih dari setengah juta dolar AS!
7. Olimpik Beijing 2008? Itu bukan kebetulan. Sesuatu yang mungkin tidak anda ketahui adalah bahawa sukan di Beijing itu dimulakan tepat jam 8.08 malam pada hari kelapan bulan Ogos pada tahun 2008.
Begitulah hebatnya kaitan nombor lapan dengan kepercayaan masyarakat Cina.
Di Malaysia, aplikasi perniagaan atas talian juga berlumba-lumba member tawaran istimewa kepada pembeli setiap kali tibanya 8 Ogos.
Adakah anda juga ada nombor bertuah?
BACA: Lelaki ini ‘skodeng’ tengah buang hajat, sekali lain pula jadi bila kantoi buat ramai puas hati
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio