“Cikgu ugut nak buka kain adik aku”, Abang kepada pelajar OKU dedah guru BM malukan pelajar OKU dikhalayak ramai
BAPA kepada seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) melahirkan kelegaan apabila isu dakwaan anak perempuannya
mendapat layanan buruk di sekolah kini sudah mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Sebelum ini mereka sekeluarga menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah menimpa anaknya yang sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di negara ini.
Luahan itu dikongsikan ahli keluarga pelajar malang tersebut menerusi ruangan komen di laman Twitter @pedoqpop pada Isnin.
Dia turut berharap dengan bantuan warga maya dan ‘kuasa’ viral, pihak berwajib akan memandang isu itu dengan lebih serius sekali gus nasib anak perempuan dan rakan-rakannya akan dapat dibela.
“Doq, ayah aku tengah scroll Twitter kau, dia cakap bila nampak semua komen tu baru nampak jalan. Terima kasih doq, semoga ALLAH permudahkan segala urusan kehidupan kau, semoga ALLAH pelihara rumah tangga kau dengan keberkatan,” katanya.
Tangkap layar luahan bapa pelajar tersebut di laman Twitter pada Isnin.
Sebelum ini, menerusi ciapan di @pedoqpop, seorang wanita mendedahkan bahawa adiknya yang berstatus OKU didakwa sering menjadi mangsa buli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.
Kakak remaja tersebut nekad mendedahkan perkara tersebut di laman sosial selepas mendapati trauma adiknya menjadi semakin teruk.
“Adik aku buat pembedahan mata dan tidak boleh berjemur atau kena panas namun dipaksa oleh guru untuk bersukan meskipun dah bagi surat doktor. Kesannya, setiap kali dia buat aktiviti, pihak sekolah telefon suruh ambil dia sebab mata dia berdarah.
“Selain itu, guru yang sama juga pernah sebarkan cerita bahawa adik aku malas solat kerana datang haid. Paling teruk, dia siap nak ugut buka kain adik aku,” katanya.
Tangkap layar pendedahan kakak kepada pelajar tersebut di laman Twtter pada Isnin.
Dalam masa sama, wanita itu turut mendakwa guru tersebut sering menengking dan memulaukan adik perempuannya yang berada di tingkatan dua hingga dia enggan lagi ke sekolah.
“Macam-macam hinaan dia buat tapi adik aku telan sahaja. Sekarang, adik aku dah trauma dan berbulan tak pegi sekolah berpunca daripada tindakan guru itu.
“Dia punya perubahan ketara, sampai banyak kali dia termenung seorang diri. Bila pergi dekat dia, rupanya sedang menangis,” ujarnya.
Lebih mendatangkan kemarahan, tiada sebarang tindakan yang diambil meskipun bapanya sudah mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah tersebut.
Tangkap layar pendedahan kakak kepada pelajar tersebut di laman Twtter pada Isnin.
Malah, pihak sekolah menuduh adiknya mereka-reka cerita semata-mata untuk menutup kesalahan guru itu.
“Pengetua tak nak aturkan pertemuan kami dengan cikgu tu. Pihak sekolah sehabis baik nak lindungi guru tersebut.
“Dah naik jumpa PPD (Pegawai Pendidikan Daerah), tapi sampai sekarang masih sama juga kesnya. Semua nak lindungi guru itu. Habis adik aku macam mana?
“Bila nak buat laporan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), adik aku tiada kemampuan nak ‘eja’ nama guru. Dia hanya ingat guru wanita, ajar Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani selain memakai kaca mata,” jelasnya.