The British Museum merupakan muzium terbesar dan paling terkemuka di Kota London yang didirikan pada tahun 1753.
Ia memiliki koleksi seni dan artifak yang luar biasa dari pelbagai tempoh sejarah dan budaya yang mempunyai jumlah lebih daripada 8 juta
Dalamnya meliputi hasil seni, arkeologi, sejarah dan budaya dari seluruh dunia.
Antara koleksi yang terkenal adalah artifak-artifak dari zaman purba Mesir seperti patung Sphinx, batu Rosetta serta memiliki pelbagai koleksi seni dari tamadun Yunani.
Namun, baru-baru ini, muzium berkenaan kembali menjadi tumpuan setelah tular berita mengenai pemecatan seorang kakitangan mereka selepas banyak koleksi didapati hilang, dicuri atau rosak.
Menurut laporan media, antara barangan yang hilang termasuklah barangan kemas dan permata berharga selain cawan lama yang dikatakan daripada abad ke-15 sebelum masihi sehingga abad ke-19.
Menurut pengarah muzium berkenaan, Hartwig Fischer, insiden sebegini amat jarang berlaku kerana muzium berkenaan sangat dikenali disebabkan koleksi-koleksi artifak yang sangat terkemuka di dunia.
Dalam masa yang sama, pihaknya menegaskan bahawa kesemua barangan yang ada di muzium berkenaan berada dalam keadaan selamat dan pihak mereka mengambil langkah keselamatan yang sangat serius bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Beirut Glass Completed 1600Px 1Sumber: British Museum
Selain itu, Fischer juga memohon maaf diatas kejadian yang berlaku dan bertekad untuk memastikan agar insiden yang sama tidak akan berulang selain telah mengambil langkah yang sepatutnya ke atas pelaku.
Dalam satu kenyataan, pihak muzium itu berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas pekerja itu, dan siasatan yang diketuai oleh unit jenayah ekonomi Polis Metropolitan London sedang dijalankan.
Menurut mereka, terdapat tiga perkara yang utama ketika ini iaitu, untuk menemukan semula barangan yang telah dicuri, untuk mencari jalan atau apa sahaja cara yang boleh digunakan bagi mengelakkan kejadian sama berlaku dan terakhir; siasatan menyeluruh terhadap rekod pihak keselamatan dan rekod koleksi yang ada di muzium tersebut.
Bagaimanapun, pihak muzium menyifatkan barangan yang hilang adalah “cebisan kecil” yang tersimpan di dalam stor kepunyaan muzium berkenaan dan kesemua barangan yang hilang tersebut tidak diletakkan sebagai bahan pameran dan kebanyakannya disimpan untuk tujuan penyelidikan.
Tambah Fischer lagi, keselamatan (muzium berkenaan) telah diperketatkan dan pakar luar telah dibawa masuk untuk membantu menyusun “akaun definitif” tentang apa yang hilang, rosak atau dicuri.