Apabila membaca berita-berita mengenai isu-isu antarabangsa, kita pastinya akan melihat terma negara “Dunia Pertama”, negara “Dunia Kedua” dan negara “Dunia Ketiga”.
Persoalannya, adakah anda faham maksud terma-terma yang digunakan ini?
Bagaimanakah sesebuah negara itu diklasifikasikan dalam salah satu kumpulan negara ini?
Kita sedia maklum bahawa Amerika Syarikat merupakan contoh negara dunia pertama. Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah pengklasifikasian ini dibuat berdasarkan kemajuan sesebuah negara tersebut?
Idea pihak Kesatuan Eropah
Untuk makluman, ketiga-tiga istilah ini merupakan idea daripada pihak Kesatuan Eropah (European Nation). Negara Dunia Pertama, Dunia Kedua dan Dunia Ketiga adalah produk daripada model Tiga-Dunia, konsep yang mengelompokkan semua negara dunia ke dalam tiga kumpulan.
Klasifikasi negara-negara ini pada awalnya didasarkan pada dasar fahaman ideologi politik sesebuah negara itu. Negara Dunia Pertama dikenali sebagai negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat sementara negara Dunia Kedua adalah negara yang bersekutu dengan Kesatuan Soviet.
Sementara itu, negara-negara Dunia Ketiga pula adalah negara-negara yang berkecuali dan tidak menyokong Kesatuan Soviet atau Amerika Syarikat.
Negara Dunia Pertama
Konsep Dunia Pertama pertama kali muncul pada abad ke-20 ketika dunia tenggelam dalam Perang Dingin dan merupakan istilah kolektif bagi negara-negara yang berada di bawah payung kapitalis.
Istilah ini diperkenalkan oleh PBB pada tahun 1940-an dan digunakan dalam tempoh Perang Dingin di mana ia disebarkan oleh kuasa besar global ketika itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang telah membahagi dunia menjadi blok dalam usaha masing-masing untuk menjadi negara yang paling berkuasa di dunia.
Dalam tempoh ini, negara-negara Dunia Pertama dikenali sebagai negara yang merupakan sekutu Amerika Syarikat yang stabil secara ekonomi dan berkongsi kepercayaan sosio-politik yang sama dengan Amerika Syarikat. Negara-negara Dunia Pertama dicirikan oleh kestabilan politik dan ekonomi dan juga mempunyai sistem ekonomi kapitalis.
Negara-negara Dunia Pertama ini pada mulanya merupakan majoriti negara-negara di Eropah Barat serta Amerika Syarikat dan Kanada. Semasa puncak Perang Dingin, hubungan antara negara-negara Dunia Pertama dan negara-negara Dunia Kedua sangat dingin dengan Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat menjadi teras kedua kumpulan tersebut.
Konsep Zaman Moden: Negara Dunia Pertama
Konsep Dunia Pertama menjadi banyak daya tarikan semasa Perang Dingin dengan Amerika Syarikat banyak mempengaruhi urusan antarabangsa di antara negara-negara Dunia Pertama. Amerika Syarikat bahkan turut mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa negara-negara jiran yang bersekutu dengan Dunia Kedua seperti Cuba ditindas melalui sekatan ekonomi yang berat.
Namun, keruntuhan Blok Timur pada tahun 1991 menandakan berakhirnya Perang Dingin dan dengan itu, definisi tradisional negara-negara Dunia Pertama turut berubah.
Istilah “Dunia Pertama” jarang digunakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai pengkelasan negara-negara dunia berdasarkan hubungannya dengan Amerika Syarikat tetapi sering digunakan untuk menggambarkan negara-negara yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik tanpa mengira fahaman.
Negara Dunia Kedua
Dunia Kedua adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan beberapa negara industri yang berpihak dengan Kesatuan Soviet dan China pada masa Perang Dingin. Mengikut definisi, majoriti negara-negara ini sama ada mengamalkan sistem pemerintahan sosialis atau sistem pemerintahan komunis.
Negara-negara ini merangkumi semua negara di bawah Kesatuan Soviet, China, Korea Utara, Cuba, Vietnam, dan Laos. Jerman sangat terkenal sebagai negara yang terbahagi kepada dua dengan Jerman Timur dikategorikan sebagai Negara Dunia Kedua sementara Jerman Barat adalah Negara Dunia Pertama.
Perpecahan tersebut dapat dilihat di ibu kota negara itu, Berlin yang memiliki tembok yang dibangun melintasi kedua negara ini. Kesatuan Soviet merupakan kuasa utama bagi negara-negara Dunia Kedua dan mempengaruhi urusan antarabangsa di antara negara-negara anggota.
Kesatuan Soviet membantu Negara-negara Dunia Kedua yang lain seperti yang dilihat dalam Rancangan Molotov pada tahun 1940-an ketika Kesatuan Soviet memberikan bantuan kepada negara-negara sekutunya sebagai alternatif daripada bantuan Amerika.
Konsep Zaman Moden: Negara Dunia Kedua
Namun, setelah kejatuhan Blok Timur pada akhir abad ke-20, definisi ini dianggap lapuk kerana keruntuhan itu juga menandakan berakhirnya Perang Dingin. Maka, penggunaan istilah ini turut berubah.
Walaupun Konsep Dunia Kedua masih digunakan (walaupun jarang), istilah ini masih digunakan untuk negara-negara bekas komunis dengan ekonomi membangun dan hanya digunakan dari perspektif ekonomi dan bukan sebagai ideologi politik.
Negara Dunia Ketiga
Istilah negara Dunia Ketiga pada awalnya adalah istilah yang digunakan untuk menentukan negara-negara yang bukan tergolong dalam negara Dunia Pertama atau negara Dunia Kedua. Dalam erti kata mudahnya, negara Dunia Ketiga awalnya merujuk pada negara yang tidak berpihak kepada mana-mana blok semasa Perang Dingin.
Istilah “Dunia Ketiga” pertama kali ditulis pada tahun 1952 oleh Alfred Sauvy, seorang ahli ekonomi dan sejarawan Perancis yang mendefinisikan negara-negara Dunia Ketiga sebagai negara-negara yang bukan merupakan Negara Barat atau anggota Persekutuan Soviet.
Negara-negara Dunia Ketiga ini didominasi di Amerika Selatan, Afrika, Oceania, dan Asia. Namun, beberapa negara sepertinya diklasifikasikan sebagai negara Dunia Kedua dan juga negara Dunia Ketiga, misalnya Cuba.
Oleh kerana keadaan ekonomi yang buruk di negara-negara ini, istilah “Dunia Ketiga” semakin sering dikaitkan dengan negara-negara dengan KDNK rendah dan di mana majoriti warganya hidup dalam kemiskinan.
Terdapat negara-negara Eropah yang tidak cenderung berorientasikan kapitalis dan tidak bersekutu dengan Kesatuan Soviet seperti Sweden, Finland, Ireland, Switzerland dan Austria mempunyai ekonomi yang makmur dan berkembang di seluruh negara dan negara-negara ini biasanya dikenali sebagai negara-negara neutral.
Konsep Zaman Moden: Negara Dunia Ketiga
Selepas kejatuhan Blok Timur pada akhir abad ke-20 yang juga menandakan berakhirnya Perang Dingin, definisi negara-negara Dunia Ketiga juga berubah kerana landskap politik global turut sama berubah.
Dalam tempoh ini, negara-negara di bawah payung “Dunia Ketiga” biasanya ditentukan oleh status ekonomi mereka dan bukannya gabungan ideologi politik mereka.
Oleh kerana stereotaip asal dikaitkan dengan negara-negara Dunia Ketiga, negara-negara ini dikenal pasti sebagai negara-negara dengan ekonomi miskin tetapi membangun.
Majoriti negara-negara Dunia Ketiga ini terletak di Asia, Oceania, Amerika Selatan dan Afrika pada asalnya terletak di bawah wilayah penjajah Eropah yang telah mencapai kemerdekaan pada abad ke-20. Walau bagaimanapun, oleh kerana terdapatnya kritikan terhadap penggunaan istilah negara “Dunia Ketiga”, para ahli ekonomi mulai merujuk negara-negara ini sebagai negara membangun atau negara maju.
Kritikan terhadap konsep negara Dunia Pertama, Kedua dan Ketiga
Pengklasifikasian negara-negara dunia terhadap tiga kategori – Dunia Pertama, Dunia Kedua dan Dunia Ketiga telah menerima banyak kritikan pada abad ke-21.
Majoriti negara yang pada awalnya merupakan negara Dunia Pertama menubuhkan NATO, sebuah pakatan ketenteraan antara kerajaan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, globalisasi dan peningkatan kemajuan teknologi telah menyaksikan penurunan perbezaan antara negara-negara di dunia.
Banyak negara yang pada awalnya dilihat sebagai negara Dunia Ketiga mengalami peningkatan pertumbuhan ekonomi dan tidak lagi dikenal sebagai negara membangun.