Tular di media sosial , kisah menyayat hati apabila kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun
Dia meninggalkan sekeping nota untuk menuntut ibunya berpisah dengan bapanya.
South China Morning Post memetik Dazhong News melaporkan, wanita dari wilayah Sichuan di barat daya China itu,
didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga, pada awal pagi 31 Ogos lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bapa kanak-kanak perempuan itu menolak isterinya ke dinding dan memukul mangsa.
Wanita itu menutup kepala dengan sebelah tangan, sambil duduk di atas lantai, manakala suaminya terus menjerit.
Selepas suspek meninggalkan tempat kejadian, anak perempuan itu dilihat memeluk ibunya.
Insiden itu selepas ibunya pulang dari kerja dan mendapati suaminya tidak melakukan sebarang kerja rumah atau menjaga dua anak mereka. Sebaliknya, lelaki itu hanya bermain kad dan permainan lain.
Laporan itu bagaimanapun tidak mendedahkan tahap kecederaan dialami mangsa.
Menurut portal itu, mangsa dikatakan tetap pergi bekerja sehari selepas kejadian dan selepas kembali ke rumah, dia terkejut apabila menerima nota daripada anak perempuannya.
“Kalau kamu nak berpisah dengan ayah, saya akan tinggal dengan kamu. Tapi kalau kamu risaukan adik saya, kamu boleh letak saya dalam jagaan ayah,” tulis anak perempuan itu menerusi nota berkenaan.
Dalam nota sama, kanak-kanak berkenaan turut memberitahu yang ibunya boleh menamatkan perkahwinannya, jika memilih untuk berbuat demikian.
“Jangan korbankan perasaan kamu,” kata nota anak perempuan itu.
Dalam ayat terakhir, anak perempuan itu mengingatkan ibunya untuk mengunci pintu.
Selepas membaca nota itu, ibu anak berkenaan gagal menahan sebak hingga menitiskan air mata.
Kisah itu tular selepas hantaran berita mengenainya dimuat naik di platform media sosial Weibo dengan dibaca 11 juta orang dan mendapat hampir 10,000 komen.