Tindakan seorang wanita bertudung memegang tin dipercayai minuman keras boleh menimbulkan fitnah
Dan buruk sangka sekali gus mencemarkan imej wanita Muslim dan agama Islam.
Pendakwah Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, seseorang yang melakukan kemaksiatan seharusnya menyembunyikan dan tidak bermegah dengan perkara itu.
“Sebenarnya walaupun tidak minum (minuman keras) tetapi tidak boleh buat (memegang) kerana menimbulkan fitnah yang menyebabkan berlaku buruk sangka orang apatah lagi meminumnya.
“Kalau minum, itu menunjukkan tindakan melampau dan ingkar perintah Allah SWT kerana kita dilarang membuat maksiat (meminum minuman keras).
“Kalau buat maksiat jangan tunjuk, namun ia tidak bermakna menyokong tetapi maksiat tak boleh dimegahkan dan tunjuk di khalayak ramai sebab dikhuatiri mempengaruhi orang lain,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas video tular yang memaparkan seorang wanita bertudung dan berpakaian seperti baju kurung memegang tin arak.
Mengulas lanjut, Ahmad Dusuki berkata, seseorang itu tidak seharusnya ada rasa sombong dan ego dengan maksiat yang dilakukan dengan mempamerkannya sedangkan Allah SWT sudah menyembunyikan aib mereka.
“Bertudung adalah satu kebaikan (menutup aurat) tetapi melakukan perkara itu, menunjukkan tin minuman keras, ia menimbulkan fitnah walaupun kita tidak tahu dia minum atau tidak,” katanya sambil menambah mempengaruhi orang lain melakukan larangan agama juga adalah berdosa.
Terdahulu, satu rakaman video wanita memakai baju kurung dan bertudung sambil memegang tin minuman keras dipercayai di sebuah pusat hiburan tular di media sosial hingga mendapat perhatian warganet.
Video berdurasi 16 saat itu turut memaparkan beberapa individu lelaki dan perempuan termasuk ada yang turut bertudung menari mengikut rentak muzik.
Semakan di TikTok mendapati video berkenaan dimuat naik satu akaun pada 1 Januari lalu dengan keterangan selamat tahun baru 2023.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut memuat naik hantaran bersama tangkap layar video berkenaan yang mendapat perhatian warganet di Facebook.
Rata-rata warganet kesal dengan tindakan individu terbabit dan menyifatkan ia mencemarkan imej wanita bertudung dan mempersendakan Islam.