Polis menumpaskan ‘Geng Tasha’ diketuai wanita berusia 25 tahun yang disyaki terbabit beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah ini, selain di Subang dan Rawang di Selangor.
Selain wanita terbabit turut ditahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun itu selepas laporan polis dibuat
seorang guru mengenai kediamannya yang dipecah masuk pada 25 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, tiga suspek termasuk wanita itu ditahan 6 September lalu di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam di Selangor, disusuli dua lagi keesokan harinya masing-masing di Rawang dan Sungai Buloh.
“Turut dirampas set nombor plat palsu, kuku kambing, enam helai resit pajak gadai, dua set kunci mangga serta barang curi seperti komputer riba, tablet dan pelbagai barang kemas yang ditemui di dalam kereta jenis Toyota Vios dan kereta Perodua Myvi yang kemudiannya disita polis.
“Modus operandi mereka adalah meronda taman perumahan menggunakan Toyota Vios sebelum menyewa Perodua Myvi dan memecah masuk rumah pada waktu siang ketika pemilik keluar bekerja.
“Selepas mencuri, mereka mengunci semula pagar rumah menggunakan mangga baharu,” katanya ketika sidang media hari ini.
Mohd Hasni berkata, polis percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes pecah rumah di sekitar Taman Bernam Baru dengan tertangkapnya semua suspek itu.
“Semakan mendapati suspek wanita mempunyai 15 rekod lampau dalam kes narkotik, manakala empat lagi masing-masing mempunyai antara empat hingga 14 rekod jenayah.
“Seorang lagi suspek dikenali ‘Ahfai’ yang beralamat di Desa Jaya Kepong, Selangor masih diburu,” katanya.
Semua suspek direman lapan hari sehingga 14 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
BACA: Kuasa Allah .. Rumah 100 peratus dijilat api, Al-Quran ditemui dalam keadaan ‘Sempurna’