Jika anda seorang pencinta makanan, sudah tentu anda pernah mendengar tentang Panduan Michelin dan Bintang Michelin, kan?
Panduan Michelin merujuk kepada siri ulasan makanan yang disediakan oleh restoran di seluruh dunia setiap tahun dan ulasan biasanya dibuat oleh pengkritik makanan yang terlatih.
Manakala restoran yang mendapat ulasan terbaik berdasarkan lima kategori yang ditetapkan pula akan diberikan antara satu hingga tiga Bintang Michelin.
Bintang Michelin dijadikan penanda aras di seluruh dunia dan mana-mana restoran yang mendapat bintang tersebut membuktikan makanan yang disedikan telah mendapat pengiktirafan tertinggi.
Biasanya, pencinta makanan yang sebenar gemar mencari restoran-restoran yang menerima bintang Michelin ketika mengembara ke sesebuah negara.
Sejarah syarikat tayar, Michelin jadi penilai rating makanan
Untuk pengetahuan pembaca, Panduan Michelin dan Bintang Michelin ini dimulakan oleh sebuah syarikat pengeluar tayar, Michelin.
Ya, anda tak salah dengar. Sistem rating makanan terulung di dunia ini dicipta oleh sebuah syarikat tayar. Tentu ada tertanya-tanya, bagaimana syarikat pengeluar tayar boleh terlibat dalam industri rating makanan ini, kan? Apa kaitannya?
Namun percayalah, ketika sistem ini dimulakan oleh Michelin, perniagaan tayarnya mempunyai kaitan yang kuat dengan industri makanan.
Malah, syarikat tayar dan sistem penilaian ini telah memiliki sejarah bersama untuk lebih dari seabad lamanya.
sejarah michelin rating makananGambar hiasan | Kredit: AFP
Sejarahnya bermula pada 1900 iaitu, kira-kira 11 tahun selepas adik beradik Michelin, Andre dan Edouard memulakan perniagaan tayar, Michelin.
Mereka menyedari bahawa mereka perlu memberikan motivasi kepada orang ramai untuk menggunakan jalan raya supaya perniagaan mereka berkembang.
Semakin kerap orang berada di jalan raya dan memandu kereta, maka tayar akan menjadi cepat lusuh dan permintaan tayar baharu akan meningkat.
Perkara ini seterusnya akan menjadikan perniagaan tayar mereka bertambah laris kerana tayar akan dianggap sebagai keperluan kepada masyarakat yang banyak bergerak.
Sejarah yang menakjubkan mengenai penilaian rating makanan Bintang Michelin
Andre dan Edouard mendapati jika mereka menyediakan panduan dan rating untuk hotel dan restauran, ia mungkin akan mendorong orang ramai untuk lebih kerap bergerak dan memandu.
Untuk merealisasikan rancangan ini, mereka kemudian menerbitkan sebuah buku panduan yang dikenali sebagai Michelin Guide.
Buku ini menyediakan panduan kepada pemandu apa yang perlu mereka tahu ketika memandu di kawasan luar bandar di Perancis.
Selain itu, buku itu juga ada maklumat berkenaan manual tayar Michelin, peta-peta, senarai-senarai hotel dan sudah semestinya lokasi restoran-restoran untuk menjamu selera yang disarankan.
Oleh kerana buku tersebut sarat dengan maklumat pelancongan yang diperlukan, para pelancong mula memborong buku-buku berkenaan.
Kemudian, Panduan Michelin terus berkembang dan menjadi rujukan lazim untuk pengembara-pengembara di Eropah.
Melihat peluang yang ada, Michelin mula melantik pengkritik makanan secara sepenuh masa.
Pemeriksa-pemeriksa ini akan mengambil masa selama berbulan-bulan untuk mengelilingi seluruh benua bagi mencari hidangan yang terbaik.
Mereka akan menilai makanan dan menentukan sama ada ia berbaloi untuk diletakkan dalan Panduan Michelin atau tidak. Seterusnya, Michelin mula memperkenalkan sistem rating Bintang Michelin yang memberi pengiktirafan kepada restorn-restoran yang mendapat pengiktirafan tertinggi.
Rating Bintang Michelin ini terdiri daripada satu hingga tiga bintang.
Satu bintang melambangkan restoran tersebut sangat baik dan anda disarankan untuk singgah jika berada berdekatan dengan restoran tersebut.
Dua bintang pula memberi isyarat bahawa anda tidak akan menyesal jika melencong sekejap daripada destinasi asal dan singgah menjamu selera di restoran ini.
Manakala tiga bintang pula bermaksud anda wajib merangka satu perjalanan khas atau memperuntukan masa untuk mencuba makanan-makanan di restoran tersebut.
Secara umumnya, tiga bintang adalah pengiktirafan tertinggi Bintang Michelin. Itulah kisahnya.