Sudah menjadi kebiasaan membeli-belah secara atas talian, kebanyakan daripada kita akan menambahkan barangan
Yang dihajati di dalam troli atau ‘add to shopping cart’ terlebih dahulu.
Tujuannya sama ada menunggu masa sesuai untuk membayar atau ingin berfikir terlebih dahulu.
Apatah lagi jika ia membabitkan barangan yang mahal harganya.
Sama seperti seorang ibu di New Jersey, Amerika Syarikat, Madhu Kumar meninjau beberapa perabot di laman web Walmart dan menambahkankan item yang berkenan di hati ke dalam trolinya.
Bagaimanapun wanita itu masih belum membayar kesemua item tersebut.
Namun apa yang menghairankan, satu demi satu bungkusan ‘parcel’ barangan itu mula tiba ke rumahnya beberapa hari lalu membuatkan dia keliru siapa membayarnya.
Madhu Kumar, berkata dia bertanya kepada suami dan dua anaknya sama ada mereka telah membeli barangan itu, tetapi mereka menafikannya.
Justeru, ia tidak syak lagi ia ‘suspek utama’ ialah anak lelakinya yang paling kecil, Ayaansh, 2.
Menurut laporan NBC New York, Ayaansh, yang masih belum tahu mengira telah bermain telefon ibunya dan tanpa sengaja memesan barang-barang itu, berjumlah hampir AS$2,000 (kira-kira RM8,373.00).
Antara barangan yang tiba di kediaman mereka ialah kerusi dan pasu hiasan.
“Dia masih kecil, mengira pun masih belum pandai. Kami seperti tidak percaya dia telah memesan semua barangan dalam troli atas talian,” kata Madhu.
Susulan pembelian ‘tanpa sengaja’ itu, keluarga berkenaan merancang untuk menyimpan beberapa barangan sahaja dan memulangkan selebihnya supaya mereka boleh mendapatkan bayaran balik.
Suami Madhu, Pramod Kumar berkata mereka sekeluarga telah belajar satu pelajaran berharga iaitu untuk mengunci telefon bimbit mereka.
“Pengajarannya, kami akan meletakkan kod laluan yang sukar atau pengecaman muka supaya apabila dia mengambil telefon kami, ia dalam keadaan terkunci,” katanya.
Baca juga: Guru taska paksa anak murid makan muntah undang kecaman pengguna media sosial