Seperti yang diketahui, setiap kenderaan dilengkapi dengan pelbagai komponen dan ciri-ciri keselamatan termasuklah brek.
Secara umumnya, brek bertindak untuk mengawal kelajuan dan memberhentikan kenderaan.
Pun begitu, penggunaan brek kadangkala tidak diperlukan dalam keadaan tertentu misalnya sewaktu melalui bonggol kerana boleh memberi kesan terhadap absorber kenderaan.
Absorber sangat penting terhadap sistem suspension kereta kerana berfungsi sebagai penyerap hentakan dan mengawal pergerakan spring. Disebabkan itu, setiap kali pemandu terlanggar lopak atau bonggol, komponen ini bertindak ‘menyerap’ hentakan.
Walau bagaimanapun, jika komponen kereta ini rosak, atau tidak berfungsi dengan betul, tayar kenderaan tidak dapat menyentuh permukaan jalan dengan baik.
Perkara ini membuatkan kereta seperti ‘terbang’ setiap kali terlanggar bonggol dan membuatkan pemandu serta penumpang berasa tidak selesa ketika dalam kenderaan.
Jadi, penting untuk mengetahui penggunaan brek kereta agar komponen ini dapat bertahan untuk jangka panjang. Sekiranya rosak, pemilik terpaksa mengeluarkan modal untuk memperbaiki absorber kereta mereka.
@pakwee_oe Penyebab utama kenapa suspension dan absorber kereta cepat rosak🤔🤔 #pakwee #dtinzautodetailing #utkkomeajerr #fypmalaysia #fyp #fypmalaysia🇲🇾 #tips #tipskereta #tipscar #suspension #absorber #lowerarm #absorberkereta ♬ Presentation – FlyFlyMusic
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, ikuti perkongsian pengguna TikTok, Pak Wee, di bawah ini.
Absorber Kereta Cepat Rosak
Dalam video yang dimuat naik oleh Pak Wee, dia menjelaskan mengenai perbuatan yang sering dilakukan oleh pemandu kereta sehingga menyebabkan komponen kenderaan itu mudah rosak.
“Kita selalu buat tabiat buruk, apa tabiat buruk tu? Lalu bonggol sambil tekan brek,” katanya.
Kenapa Tak Boleh Tekan Brek Sewaktu Lalu Bonggol?
Jelasnya, sewaktu kenderaan melalui bonggol adalah tidak disarankan menekan pedal brek kerana ia bakal memberi tekanan pada absorber sekaligus menyebabkan ia cepat rosak.
“Bila kita tekan brek, tekanan akan pergi ke depan. Dan bila tekanan dah banyak dekat depan, kita lalu pulak atas bonggol.
“Tekanan dari bonggol tu memang akan cepat merosakkan absorber korang disebabkan hentakan yang kuat.
“Sambil tekan brek dahlah tekanan, pergi ke bonggol tekanan lagi, hentak lagi,” katanya.
Sementara itu, Pak Wee turut memberikan saranan agar absorber kenderaan dapat bertahan dalam jangka masa panjang.
“Jadi caranya macam mana? Caranya bila korang nampak bonggol, cuba perlahankan kereta sebelum bonggol dan lalu bonggol tanpa menekal pedal brek,” ujarnya lagi.
Menerusi langkah ini, absorber kenderaan dapat bertahan dalam tempoh yang panjang dan menjimatkan wang ringgit.
Semoga bermanfaat.