Ketegangan antara Israel dan Palestin selama puluhan tahun telah menyebabkan persepsi negatif terhadap bangsa Yahudi.
Namun, melalui satu perkongsian di TikTok, seorang wanita mendedahkan sudut yang berbeza selepas dia berpeluang menuntut ilmu dengan seorang pensyarah Yahudi.
Wanita tersebut mengakui awalnya berasa gerun ketika berdepan dengan pensyarah berkenaan semasa melanjutkan pengajiannya di sebuah universiti di Rusia.
Pada usia 19 tahun, dia menghadapi ketidakpastian berhubung kemungkinan salah faham mengenai latar belakangnya sebagai seorang Muslim.
“Ketika itu, saya berumur 19 tahun, seperti yang kita tahu, kita tidak dibenarkan pergi ke Israel, dan di Malaysia, kita tidak berpeluang berinteraksi dengan orang mereka. Jadi, apabila saya melanjutkan pelajaran ke Rusia, saya dapat bergaul dengan mereka yang berbangsa Yahudi.
Saya masih ingat lagi rupa pensyarah saya, seorang profesor yang merupakan orang Yahudi. Saya dapat tahu dia Yahudi apabila saya melihat nama dia. Dia seorang wanita, rambutnya kerinting, dan usianya sudah agak lanjut. Dia mengajar saya subjek penyakit berjangkit.”
Walaupun awalnya merasa gentar, wanita tersebut menyedari bahawa pensyarah berbangsa Yahudi itu sebenarnya adalah tenaga pengajar yang integriti dan komited. Selepas beberapa bulan, dia menyukai cara pengajaran profesor tersebut dan mendapati kelasnya sangat baik, jelas, dan menarik.
“Walaupun saya tidak mampu untuk tidak menyukainya kerana dia orang Yahudi, profesor ini sangat terbuka dan melayani kami dengan sangat baik, sama seperti kelasnya yang lain.
Kita boleh nampak yang dia ikhlas nak mengajar kita. Dan akhirnya saya berjaya habiskan dengan cemerlang, markah pun tinggi… tidak gagal seperti yang saya fikirkan awal-awal.”
Pengalaman tersebut memberikan wanita itu satu pengajaran berharga bahawa tidak semua orang Yahudi mempunyai pandangan yang sama terhadap masyarakat Islam. Dia menekankan bahawa penting untuk tidak membuat generalisasi dan menghargai perbezaan di antara individu.
“Sampai sekarang saya masih ingat profesor itu. Betul la apa orang selalu cakap, kita akan sentiasa kenang guru yang mengajar kita dengan baik. Profesor itu merupakan orang Yahudi yang menetap di Rusia. Tak semua mereka sama, ada perbezaan antara seorang Yahudi dan juga Zionis.”
Sebagai penutup, wanita tersebut menyampaikan pesanan bahawa penting untuk memahami bahawa tidak semua orang dari sesuatu kumpulan mempunyai pandangan atau niat yang serupa.