Seorang pemandu wanita megundang kecaman selepas dia seolah-olah mengeluh apabila seorang penunggang motor memotongnya di lorong kanan.
Tak pasal-pasal dia dianggap ‘mak cik semut’ kerana dilihat seperti memandu perlahan di laluan yang sepatutnya laju.
Puncanya, dia memuat naik video ringkas tanpa kapsyen lengkap menyebabkan warganet salah anggap hingga menghambur kecaman.
Itulah yang dialami pengguna Facebook, Kina Harun yang memuatnaik video dengan kapsyen, “Alahai…pak cik…” diikuti emoji terkilan.
Ekoran itu, warganet memberikan reaksi berbaur kecaman dan sindiran kerana menganggap wanita berkenaan memandu bagaikan kura-kura di lorong yang dikhaskan untuk pemanduan laju dan bagi memotong kenderaan.
“Den (Saya) pun cilok macam ni kalau jumpa makcik semut di lorong laju,” bidas Shubhi Omar.
Hal sama disinggung Mohamad Rashidi apabila menulis, “Laluan kanan lorong memotong, bukan pandu perlahan santai. Salah satu punca jem di Malaysia, pemandu jenis slow tapi tak reti pi tepi.”
Malah, pemandu wanita lain juga menyelar pengirim video itu bukannya memperkatakan ‘pakcik’ yang dilihat memotong kereta tersebut.
“Saya kalau bawa 140-150 km per jam pun masih memandu di lane kiri atau tengah alau ada kenderaan lain di belakang.
“Ini santai elok dok lane kanan. Lepas tu acah-acah orang lain yang salah,” kecam Syazwani Razmi pula terhadap video yang berlatar belakangkan lagu bernada sedih itu.
Walau bagaimanapun, Kina dalam reaksi awalnya memberitahu ‘pak cik’ yang dimaksudkan adalah suaminya sendiri.
“Pakcik tu suami saya yang bantu saya beritahu kereta depan yang kereta belakang nak potong.
“Saja rakam aksi suami di lebuhraya, buat kenangan,” jelas Kina.