Biasanya, jika anda ingin melancong ke mana-mana, anda pasti akan menempah tiket penerbangan, betul?
Tetapi bagaimana jika tempat yang anda ingin kunjungi tidak mempunyai lapangan terbang? Anda mungkin rasa perkara itu mustahil, kan?
Walaupun kedengaran pelik dan mustahil, namun itulah hakikatnya.
Terdapat lima negara di dunia yang tidak mempunyai lapangan terbang kerana saiznya terlalu kecil.
Jadi, dalam artikel ini, kami senaraikan lima negara tersebut dan alternatif lain untuk pergi ke sana.
Bandar Vatican
Bandar Vatican merupakan negara terkecil di dunia dan juga negara-kota yang tidak diperintah oleh mana-mana negara lain. Kawasan negara seluas 190 ekar itu tidak mempunyai lapangan terbang kerana ia terletak di dalam Rom.
Anda boleh menempah tiket penerbangan ke Rom jika ingin ke Bandar Vatican. Lapangan Terbang Leonardo da Vinci-Fiumicino di Rom hanya kira-kira 18.5 batu (29 kilometer) dari sempadan Bandar Vatican.
San Marino
San Marino dikelilingi oleh tanah negara Itali, tetapi negara ini tidak mempunyai lapangan terbang sendiri. San Marino merupakan negara kelima terkecil di dunia dan masih boleh dikunjungi oleh pelancong dari luar.
Negara ini berdekatan dengan Lapangan Terbang Federico Fellini (Itali) yang hanya jarak sembilan batu (14 kilometer). Beberapa penduduknya dikatakan hidup mewah kerana San Marino dianggap sebagai salah satu negara terkaya di dunia dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita tertinggi.
Monaco
Negara ini dikelilingi oleh Perancis dan Laut Mediterranean, dan merupakan negara kedua terkecil di dunia. Ia juga diiktiraf sebagai negara paling padat penduduk di dunia.
Untuk pergi ke Monaco, anda perlu turun di Lapangan Terbang Nice Cote d’Azur di Perancis, kemudian menaiki bot atau kereta selama setengah jam sebelum tiba di sana.
Monaco menjadi tuan rumah bagi perlumbaan Formula One tertua dan paling bergengsi, iaitu The Monaco Grand Prix yang mempunyai litar terpendek di kalangan semua perlumbaan Formula One.
Liechtenstein
Liechtenstein merupakan negara terkecil di dunia yang menjadi sempadan dengan Austria dan Jerman. Negara ini juga tidak mempunyai lapangan terbang sendiri. Cara untuk ke sana adalah dengan menaiki kereta atau bot, atau menggunakan sistem kereta api dari stesen Switzerland atau Austria yang berdekatan.
Lapangan Terbang St. Gallen-Altenrhein di Switzerland adalah lapangan terbang terdekat dengan Liechtenstein. Negara ini lapan kali ganda lebih kecil daripada bandar Los Angeles dan mempunyai populasi hanya sekitar 6,000 penduduk. Liechtenstein mempunyai antara KDNK per kapita tertinggi dan memiliki hutang negara yang paling rendah.
Andorra
Negara terakhir ialah Andorra yang terletak di sempadan antara Sepanyol dan Perancis. Ia terletak di banjaran gunung Pyrenees, membolehkan pelancong mendaki gunung sambil menikmati keindahan pemandangan.
Andorra mempunyai ibu negeri bernama Andorra la Vella, yang juga merupakan ibu kota tertinggi di Eropah. Untuk pergi ke sana, anda boleh menempah tiket di lima lapangan terbang yang terletak di Sepanyol dan Perancis.
Perjalanan dari lapangan terbang ke Andorra mengambil masa tiga jam. Jika anda ingin tahu, rakyat Andorra juga memiliki jangka hayat antara tertinggi di dunia.
Itulah lima negara tanpa lapangan terbang. Negara-negara ini mungkin kecil, tetapi mereka mempunyai kelebihan tersendiri.