Vietnam dilaporkan mengalami skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara, melibatkan penggelapan wang berjumlah RM57.9 bilion.
Jumlah ini dikatakan setara dengan kira-kira 3 peratus daripada nilai GPD negara tersebut, menjadikan skandal ini sebagai yang terbesar di Asia Tenggara sejauh ini.
Menurut laporan DW, skandal ini terbongkar setelah pendakwaan terhadap pengerusi syarikat pemaju hartanah terkemuka di Vietnam.
Individu tersebut telah ditahan pada tahun lepas dan dituduh oleh Kementerian Keselamatan Awam Vietnam pada 17 November lalu.
Suspek, seorang wanita, didakwa melakukan penyelewengan dana daripada Bank Komersial Saigon selama beberapa tahun, di mana dia juga merupakan pemegang saham terbesar.
Dalam kenyataan kementerian, wanita itu dikatakan mengawal lebih daripada 1,000 anak syarikat domestik dan subsidiari asing.
Menerusi syarikat ini, dia dituduh membuat pinjaman melebihi RM57.9 bilion daripada Bank Komersial Saigon, dan sebahagian daripada jumlah tersebut dilencongkan ke beberapa syarikat ‘hantu’.
Syarikat-syarikat ‘hantu’ ini dilaporkan ditubuhkan oleh wanita tersebut dan beberapa ahli keluarganya.
Pada pertengahan November, seramai 85 individu, termasuk 24 pegawai kerajaan dan rakan kongsi syarikat pemaju hartanah serta Bank Komersial Saigon, telah ditahan.
Kerajaan Vietnam juga dilapor membuka siasatan tambahan melibatkan 23 penjawat awam, termasuk 12 kakitangan di Bank Negara Vietnam, iaitu bank pusat negara.
Parti Komunis Vietnam yang memerintah negara itu sebelum ini telah menjalankan kempen anti-rasuah selepas kemenangan Nguyen Phu Trong dalam satu pilihanraya parti pada 2016, mengakibatkan penahanan ramai penjawat awam dan menteri yang terlibat dalam pelbagai skandal rasuah.
Pada Januari lepas, Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Pac, meletak jawatan, dan beberapa menteri terlibat dalam skandal rasuah berkaitan dengan pemerolehan bekalan ujian COVID-19 turut ditahan.