Seorang wanita mula mensyaki suami yang dikahwininya pada lapan tahun lalu mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Bukanlah satu dakwaan yang langsung tidak berasas, suaminya itu sudah beberapa bulan cuba mengelak dan memberikan alasan untuk tidak menunaikan nafkah batin.
Tidak hanya sering terlelap di dalam bilik anak, lelaki itu juga tergamak bertindak membelakangkan isterinya setiap kali mereka berdua tidur di atas katil yang sama.
Enggan mengalah begitu sahaja, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Dee yang berjaya menyelamatkan perkahwinannya setelah berjumpa pakar perubatan.
“Aku sudah berkahwin lebih kurang lapan tahun. Anak tiga orang. Awal perkahwinan, bab nafkah batin ini memang tidak pernah ada masalah langsung. Tetapi selepas anak bertambah, semakin lama jadi semakin jarang. Nafkah zahir itu lagilah tiada masalah sebab suami memang seorang yang bertanggungjawab.
“Suami aku bukan jenis yang romantik. Bab ini aku tak makan hati. Janji dia baik dan dapat jaga aku serta anak-anak pun sudah bersyukur. Awalnya aku tak kisah apabila hubungan kelamin kami semakin jarang. Maklumlah, kadang penat kerja. Balik rumah kena urus anak-anak dan rumah. Jadi kalau tak ‘dapat’ selalu pun aku tak kisah.
“Tetapi dalam beberapa tahun yang lepas suami mula berubah. Berbulan-bulan dia tak sentuh aku. Hampir setiap malam dia mengelak tidur dengan aku. Kadang-kadang dia tidur di bilik anak-anak. Kalau tidur sebilik pun dia akan membelakangkan aku. Kalau aku goda sekalipun, dia buat-buat tak tahu.
“Jadi satu hari ini, aku berterus-terang pada suami mengenai masalah ini. Mulanya dia berat juga mahu terus terang. Tetapi akhirnya suami beritahu juga yang dia sudah tiada keinginan untuk bersama. Dia pun tak tahu kenapa. Kebetulan suami memang ada masalah besar dalam syarikat.
“Jadi, suami kata dia mungkin terlalu memikirkan masalah sehingga menyebabkan nafsu itu hilang. Aku juga fikir mungkin benda ini ada kaitan dengan psikologi. Dia mungkin tak boleh fokus pada hubungan kerana terlalu banyak berfikir. Beberapa bulan berlalu, dia kekal seperti itu selepas masalah syarikatnya pulih.
“Waktu ini macam-macam perkara kami usahakan. Pergi berbulan madu berdua dan berjanji temu pun boleh dikatakan selalu buat. Rasa cinta dan sayang itu memang bertambah, tetapi apabila nak berhubungan, suami tak boleh teruskan. Aku apalagi, tanya betul-betul apa masalah dia.
“Aku minta suami berterus terang. Jangan buat isteri seperti tunggul sekiranya aku sudah tak menarik di mata atau ada perempuan lain. Dia berterus terang yang nafsu itu bukan sahaja hilang terhadap aku, malah pada wanita lain juga. Punyalah nak kata nafsu dia hilang sepenuhnya.
“Tetapi ini bukan bermakna suami ada nafsu kepada lelaki pula. Waktu ini aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Takkan mati pucuk pula. Dia pun rasa perkara yang sama. Tetapi selepas berbincang, suami buat keputusan jumpa doktor untuk buat pemeriksaan. Kami terus cari klinik ‘sakit tuan’ yang berdekatan.
“Kami buat temu janji. Mulanya aku ragu-ragu juga. Takkanlah muda-muda dia sudah mati pucuk? Tetapi suami tetap nak periksa sebab katanya dia tak nak zalimi aku. Kalau betul mati pucuk dan tiada lagi rawatan, dia akan lepaskan aku. Suami nak aku bahagia.
“Tetapi kalau boleh suami nak cuba sampai boleh sebab dia sayangkan aku. Aku ini tiada niat sampai nak berpisah sebab masalah macam ini. Sebab aku percaya setiap masalah mesti ada penyelesaiannya. Disebabkan nampak kesungguhan dia, aku pun sama-sama sokong apa yang perlu.
“Temu janji pertama kena buat ujian darah. Keputusannya sangatlah mengejutkan. Hormon testosteron suami terlalu rendah. Doktor sahkan dia menghidap mati pucuk. Banyak faktor kenapa hormon testosteron boleh jadi rendah. Waktu ini jugalah suami baru tahu dia ada beberapa penyakit metabolik.
“Suami ada darah tinggi dan juga tahap kolestrol yang melebihi. Itu antara penyebab juga peredaran darah dalam salur menjadi kurang lancar. Suami rupanya luarannya memang nampak macam orang sihat sahaja. Badan pun nampak fit. Tetapi sebab jarang buat pemeriksaa kesihatan, tak tahu ada penyakit.
“Nasib baik juga buat ujian, dapat kami tahu lebih awal. Jadi aku faham punca suami ‘lari’ setiap malam. Suami malu nak mengaku ‘kelemahan’ dia. Tetapi setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Setiap penyakit ada ubat. Temu janji berikutnya, doktor bekalkan beberapa jenis ubat dan supplement.
“Diet pemakanan pun kena jaga. Senaman pun kena selalu buat. Alhamdulillah suami ikut semua kata doktor. Temu janji pun suami ikuti tanpa gagal. Kesihatan semakin membaik. Hormon testosteron pun semakin naik, lama-lama ubat juga semakin dikurangkan. Semestinya hubungan kami pun kembali normal balik seperti dahulu.
“Jadi kalau ada sesiapa yang menghadapi masalah seperti ini, tak rugi sebenarnya jika kita bincang secara mendalam dengan pasangan. Hubungan intim ini keperluan, ini fakta. Duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian bersama. Jangan sampai makan hati.
“Buanglah rasa malu atau rasa terhegeh-hegeh menagih cinta suami. Perlu terbuka, dalam masa yang sama jangan hakimi suami. Suami pun seeloknya janganlah diam. Kalau ada benda yang tak kena pada diri atau isteri, perlu beritahu dan cari jalan penyelesaian bersama.” Kongsi Dee menerusi laman luahan di atas talian.