Sebuah penjara tertua dan terbesar di Chile, Amerika Selatan, bukan sahaja mempunyai lebih 4,900 banduan, malah ia juga ‘memenjarakan’ lebih 100 ekor kucing.
Nama penjara ini ialah Pusat Tahanan Pencegahan Santiago Sur (CDP), juga dikenali sebagai Penjara Santiago Lama atau La Peni.
Sedekad yang lalu, beberapa ekor kucing telah diperkenalkan di penjara itu untuk mengawal populasi tikus.
Namun, bilangan kucing itu meningkat mencecah 100 ekor kerana tiada sebarang langkah kawalan dilakukan kepada kucing untuk memastikan ia tidak membiak.
Selain menangkap tikus, kucing-kucing itu juga ‘bertugas’ untuk memberikan kasih sayang terhadap banduan yang dipenjarakan. Kebanyakan daripada banduan itu mempunyai hubungan yang akrab dengan kucing-kucing tersebut.
Sama seperti banduan yang dipenjarakan, 100 ekor kucing itu juga menghadapi pelbagai cabaran. Ia mendapat makanan daripada lebihan makanan yang diberi oleh banduan. Ada sesetengah daripada mereka yang tidak makan untuk memastikan kucing-kucing itu mempunyai makanan untuk diberi.
Selain itu, kucing yang banyak itu tidak mempunyai tempat untuk membuang najis. Ini kerana, kawasan bertanah di sekitar taman rekreasi penjara itu disimen. Jadi, kucing-kucing tersebut tiada pilihan lain selain membuang najisnya merata-rata ke atas lantai simen.
Namun, banduan di penjara itu tidak begitu risau mengenai kebersihan penjara tersebut ataupun masalah kekurangan makanan. Sebaliknya mereka lebih risaukan ketiadaan doktor haiwan untuk memeriksa kucing-kucing di situ.
Kerisauan mereka telah menyebabkan badan amal perlindungan kucing, Felinnos Foundation, mencadangkan pemeriksaan terhadap kucing-kucing itu kepada pihak berkuasa penjara itu. Tetapi pada mulanya, pihak berkuasa penjara itu teragak-agak untuk membenarkan mereka melakukan pemeriksaan.
Ini kerana, mengawal pembiakan kucing itu bukanlah tanggungjawab mereka. Tetapi menurut Metro UK jurucakap Humane Society International (HSI) berkata, mereka kemudiannya bersetuju apabila isu kebersihan tempat itu diuatarakan.
“Sekarang, pihak berkuasa penjara ini sudah memahami kepentingan kucing-kucing ini terhadap banduan di sini. Kerana mereka menggunakan kucing-kucing ini sebagai mental support sepanjang mereka dipenjarakan.
“Lebih-lebih lagi apabila lebih ramai pengawal di sini yang mahu menghulurkan bantuan mereka. Ia telah menyenangkan proses ini untuk pasukan kami,” kata mereka.
Salah seorang daripada mereka yang berada dalam pasukan itu adalah Daniela Paula Benavides Sanchez, 45, yang menyertai HSI pada tahun 2019 dan kemudian menjadi pengarah HSI di Chile.
Kata Daniela, “Keadaan mereka di penjara itu amat mencabar untuk kucing-kucing dan banduan-banduan. Ia telah mengakibatkan masalah kesihatan terhadap kucing-kucing itu,”
Antara penyakit yang dihidapi oleh kucing-kucing itu adalah, jangkitan pada mata dan telinga kucing yang bernanah kerana tidak dirawat, masalah kutu, cacing, kerengsaan kulit dan ruam, kekurangan zat makanan dan luka daripada pergaduhan antara sesama kucing.
Dia menambah bahawa banduan-banduan yang menawarkan diri mereka untuk membantu kucing tersebut menunjukkan keikhlasan mereka untuk meningkatkan kualiti hidup kucing-kucing tersebut.
Ketika mereka melawat penjara itu bagi tujuan memeriksa 100 ekor kucing itu, HSI dan Felinnos Foundation telah memberikan healthcare kepada kucing-kucing itu dengan kerjasama daripada Gendarmerie Chile, perkhidmatan penjara kebangsaan negara itu, selama tiga hari.
Semua kucing itu diberi pemeriksaan kesihatan lengkap, dimandulkan dan disterilkan, kemudian diberi vaksin rabies sementara diawasi oleh penjaga setiap kucing itu. Selepas pemerhatian selama satu malam, semua kucing disatukan semula dengan penjaga banduan kucing-kucing itu atau dikembalikan ke mana-mana sudut penjara yang kucing itu ditemui pada hari berikutnya.
Setiap banduan juga menerima nasihat daripada pakar tentang cara menjaga kucing mereka dalam persekitaran penjara.
“Terdapat beribu-ribu banduan dan ruang terhad, dengan kebanyakannya terhad kepada kawasan kecil dan keadaan yang sangat sukar untuk pemulihan manusia.
“Kebanyakan anak kucing yang baru dilahirkan mati akibat kekurangan makanan, penyakit dan kecederaan. Ia boleh dipijak semasa pertelingkahan yang berlaku antara banduan. Kucing dewasa boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan di penjara kerana ia belajar untuk bersembunyi sekiranya perlu, tetapi ia lebih sukar untuk anak kucing,” kata Daniela.
Seperti yang dinyatakan, La Peni merupakan sebuah penjara yang terbesar dan tertua. Tetapi, ia sebenarnya hanya mempunyai kapasiti maksimum untuk 2,400 banduan saja. Kini, penjara ini mempunyai dua kali ganda daripada kapasiti yang sepatutnya dan ia menjadikan La Peni sebagai penjara paling padat di Chile.
La Peni adalah sejenis ‘CDP’, atau dipanggil penjara reman di mana banduan yang menunggu dan menjalani perbicaraan ditempatkan. Bagaimanapun, data menunjukkan ia kebanyakannya memenjarakan mereka yang menjalani hukuman, sepadan dengan kadar pemenjaraan Chile yang tinggi iaitu kira-kira 210 banduan bagi setiap 100,000 orang.
Banduan di La Peni ini melakukan apa saja untuk merawat kucing-kucing yang sakit. Kebiasaannya mereka akan membuat ‘rawatan’ sendiri menggunakan apa yang ada di dalam penjara itu.
“Ia amat menyejukkan hati apabila melihat hubungan istimewa antara kucing dan banduan ini. Ini kerana kucing itu telah menjadi peneman dan sumber sokongan emosi mereka,” kata Daniela.
Daniela turut menjelaskan bahawa setiap banduan yang menjaga kucing mereka amat menyayangi haiwan itu. Dia juga berkata haiwan boleh menjadi sesuatu yang penting dalam proses pemulihan banduan, selain membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam penjara.
Katanya lagi, banduan-banduan di situ sudah pun mengalami perubahan kerana mereka yang sebelum ini mencederakan haiwan lain di luar penjara, telah menjadi seseorang yang amat menyayangi haiwan dan mahu melindunginya.
Menurut Daniela, pihak pegawai La Peni berkata, kucing-kucing di situ telah membantu banduan untuk menyesuaikan diri mereka dan menjadikan ia lebih senang untuk berurusan dengan mereka. Jadi, memastikan kucing-kucing dipenjara itu bersih dan sihat dengan menyediakan perkhidmatan pencegahan veterinar adalah penting.
Ia bukan sahaja untuk kesejahteraan haiwan di situ tetapi juga untuk membantu meningkatkan kehidupan orang ramai semasa dan selepas pemenjaraan.
Daniela juga menambah, “Salah seorang banduan di sini akan dibebaskan tidak lama lagi dan katanya, dia mahu membawa kucingnya untuk tinggal bersama dengannya,”
BACA: “Puas hati aku dapat malukan ayah depan orang kampung, aku senyum sinis tanda aku menang”