Burung merpati adalah antara burung yang mudah ditemui di kawasan bandar. Kalau anda perasan, haiwan bersayap ini seperti hidup dalam koloni yang besar di tengah-tengah kota.
Jadi, tak hairanlah apabila anda cuba memberi makan kepada haiwan ini,
kelompak yang besar akan tiba-tiba datang berkumpul.
Namun begitu, kita jarang atau langsung tidak pernah melihat anak haiwan ini berada bersama-sama kelompok burung-burung merpati yang dewasa, kan?
Pernah tak anda tertanya-tanya, dimana anak-anak haiwan ini berada? Mengapa seolah-olah tidak wujud dan langsung tidak kelihatan?
Sebenarnya, anak burung merpati memang wujud namun ada beberapa sebab kenapa anda tidak pernah melihatnya di mana-mana.
Salah satu puncanya adalah haiwan ini selalunya akan membina sarangnya di tempat yang terasing daripada penempatan manusia seperti di kawasan menyerupai gua ataupun tebing.
Untuk makluman, gua dan tebing merupakan tempat tinggal keturunan haiwan unggas di kawasan Mediterranean di masa lampau.
Namun begitu, di kota-kota besar, haiwan bersayap ini didapati bersarang di celah-celah bangunan, di kawasan bumbung atau dibawah jambatan.
Asasnya, sarang-sarangnya terletak di kawasan yang terasing dan tersorok daripada pandangan manusia.
Selain itu, anak haiwan ini juga menghabiskan masa yang sangat lama di dalam sarang iaitu kira-kira empat hingga enam minggu.
Dalam erti kata lain, anak burung merpati akan menetap di sarangnya sehingga mencapai saiz dewasa.
Spesis ini sebenarnya ibu bapa yang baik
Di kota-kota besar, burung merpati dianggap seperti tikus bersayap. Namun begitu, ramai yang tidak tahu haiwan ini adalah ‘ibu bapa’ yang baik.
Menurut pengkaji, burung merpati jantan dan betina saling menjaga anak burung merpati di dalam sarang seperti mencari makanan dan sebagainya.
Jadi, sebab itulah anda mungkin jarang atau tidak pernah melihat anak haiwan bersayap ini berada dalam kawanannya.