Baru baru ini tular satu video berdurasi dua minit 20 saat yang dimuatnaik di TikTok meminta orang ramai tidak berkunjung ke restoran mamak yang didakwa melakukan empat kelakuan jijik
Seorang pempengaruh menerusi video terbabit mendakwa ada restoran mamak yang menggunakan seluar dalam lelaki berwarna putih
Tujuan untuk membalut nasi, dan menggunakan air kencing toyol sebagai ramuan masakan kari.
Selain itu pempengaruh terbabit mendakwa ada bekas pekerja restoran mengakui sendiri bahawa bekas majikannya menggunakan air mandian untuk memasak kuah selain mendakwa kuah dal dicampur dengan najis yang dibekukan
Susulan itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) membuat laporan polis berhubung dakwaan segelintir restoran mamak membungkus nasi menggunakan seluar dalam dan kencing toyol sebagai ramuan masakan kari.
Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan menyifatkan dakwaan dibuat pempengaruh di TikTok itu sebagai tohmahan yang tidak masuk akal dan berniat jahat.
“Kami tidak tahu apa tujuan dia. Bagi saya ini satu tohmahan yang melampau dan kami akan susuli dengan tindakan mahkamah walaupun dia padam (video), tiada ruang untuk kami tarik balik laporan polis.
“Kita tidak akan berdamai dengan dia kerana fitnah yang dilakukan itu terlalu mengaibkan dan kita mahu jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua blogger atau pempengaruh TikTok,” katanya pada sidang media semalam.
Menurutnya, hampir 100 laporan polis sudah dibuat oleh ahli Presma di seluruh Malaysia dan beliau menjangkakan lebih ramai lagi akan tampil membuat laporan.
Katanya, tohmahan itu perlu disiasat dengan teliti kerana ia menjatuhkan kredibiliti pengusaha restoran mamak selain dilihat menyentuh sensitiviti perkauman 3R (agama, kaum, diraja).
Video itu kini mencecah 1 juta tontonan dan dikongsi hampir 30,000 kali sejak dimuatnaik pempengaruh berkenaan sejak semalam.
Baca juga:Pemilik rumah ini terjumpa telaga bawah lantai rumah, rupanya lubang sezaman dengan Hang Tuah