Baru 16 tahun tapi dah ada lesen bawa kapal terbang, rupanya bukan calang-calang pendidikannya

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Sementara rakan-rakan sebaya sibuk memilih institusi untuk meneruskan pembelajaran selepas peperiksaan, M

ohd Anaqi Mohd Rizal telah menetapkan matlamat yang jelas untuk masa depannya. Pemuda ini bercita-cita untuk ‘terbang tinggi’.

Hanya sebentar selepas menamatkan peperiksaan GCE ‘O’, Mohd Anaqi telah meraih gelaran juruterbang.

Baru 16 tahun tapi dah ada lesen bawa kapal terbang, rupanya bukan calang-calang pendidikannya

Ini bermakna, pada usia 16 tahun, beliau telah mendapat lesen untuk menjadi juruterbang, yang mana lebih awal daripada usia sah untuk mendapatkan lesen memandu!

Lesen yang diperolehi pada 2023 oleh Mohd Anaqi adalah lesen juruterbang rekreasi.

PUAS DENGAR BUNYI ENJIN PESAWAT

Walaupun minatnya terhadap kapal terbang bermula sejak kecil, Anaqi awalnya tidak bercita-cita untuk menjadi juruterbang. Walau bagaimanapun, semasa bercuti bersama ibu bapanya ke Hong Kong pada usia 10 tahun, mereka menaiki pesawat Singapore Airlines.

Semasa penerbangan itu, Mohd Anaqi terkagum-kagum dengan bahagian-bahagian pesawat seperti ‘spoiler’ dan kepak pada sayap pesawat. Bunyi enjin pesawat semasa berlepas juga dianggap sebagai sesuatu yang “memuaskan”.

Sejak detik itu, hasrat yang mendalam muncul, dan Mohd Anaqi bersumpah untuk menjadi seorang juruterbang.

“Selepas percutian itu, saya memberitahu ibu bapa saya, ‘Mummy, Daddy, boleh saya menjadi seorang juruterbang satu hari nanti?’,” kata Mohd Anaqi kepada BERITA Mediacorp, sambil menambah bahawa kedua orang tuanya sangat menyokong cita-citanya dan memberikan sokongan penuh.

Filem-filem bertemakan penerbangan seperti ‘Top Gun: Maverick’ dan ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ turut meningkatkan semangatnya untuk mengejar impian tersebut.

BAGAIMANA MUDA-MUDA BOLEH JADI JURUTERBANG?

Mohd Anaqi kemudian memutuskan untuk menangguhkan pengajian atau mengambil ‘gap year’ selepas menamatkan peperiksaan GCE Peringkat ‘O’. Beliau menyertai Program Juruterbang Rekreasi yang dijalankan oleh akademi penerbangan Aeroviation berpangkalan di Singapura. Mohd Anaqi mula menghadiri kelas teori di Singapura pada Januari 2023 dan melibatkan diri dalam latihan simulator pada Mei 2023.

Pada bulan Julai 2023, Mohd Anaqi berangkat ke Adelaide, Australia untuk menjalani latihan simulator dan kursus amali selama sebulan. Setelah lima hari di Adelaide, Mohd Anaqi diberi kebenaran untuk menerbangkan pesawat secara solo, sesuatu yang tidak dijangka baginya.

“Semasa menerbangkan pesawat secara solo, dalam fikiran saya hanya ada satu petikan dialog dari filem ‘Top Gun: Maverick’ – iaitu ‘Don’t think just do’ (Jangan fikir, lakukan sahaja). Selepas selesai lakukan penerbangan tiga pusingan, saya rasa sangat bangga dengan diri saya.

“Ini suatu perkara luar biasa yang pernah saya lakukan kerana saya mengimpikan detik itu sejak saya mendaftar ke sekolah penerbangan,” kongsi Mohd Anaqi.

APA ITU JURUTERBANG REKREASI?

Seorang juruterbang rekreasi boleh menyewa pesawat atau menerbangkan pesawat mereka sendiri pada bila-bila masa untuk menikmati pemandangan dan menimba pengalaman. Walau bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan membawa seorang penumpang kerana pesawat untuk tujuan rekreasi adalah pesawat ringan dengan hanya dua tempat duduk.

Lesen penerbangan rekreasi Mohd Anaqi juga hanya membenarkan beliau terbang sejauh 25 batu nautika dalam kawasan lapangan terbang.

“Apabila saya terbang buat kali pertama, pesawat yang saya naik itu ringan dan cuaca pun bagus jadi semasa saya mendarat, ia amat lancar,” ujar Mohd Anaqi.

Jenis pesawat yang dapat diterbangkan oleh Mohd Anaqi termasuk Jabiru 120 dan Jabiru 160 yang ditawarkan oleh sekolah penerbangan beliau, dan juga pesawat rekreasi lain seperti Tecnam P92.

BERAPA YURAN PERLU DIBAYAR?

Mohd Anaqi memberitahu BERITA Mediacorp, yuran yang perlu dibayar untuk mendapatkan lesen penerbangan rekreasi adalah S$12,000. Sebanyak S$5,000 untuk yuran kelas teori dan latihan simulator di Singapura, dan S$7,000 lagi untuk latihan di Australia termasuk penerbangan dan penginapan.

Yuran tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa Mohd Anaqi, Encik Mohamad Rizal Mohamad Harith dan Cik Azizah Rahmat.

BOLEHKAH TERBANGKAN PESAWAT REKREASI DI SG?

Sehingga kini, lesen Mohd Anaqi hanya membenarkan beliau untuk menerbangkan pesawat rekreasi di ruang udara Australia. Bagi menerbangkan pesawat rekreasi di Singapura, beliau perlu memperoleh lesen yang berasingan.

IMPIAN ‘TERBANGKAN’ IBU BAPA JADI KENYATAAN

Pada minggu terakhir di Adelaide, ibu bapanya turut pergi untuk menyokong anak sulung mereka. Bagi Mohd Anaqi, salah satu detik paling manis selain mendapatkan lesen penerbangan adalah ketika beliau dapat ‘terbangkan’ ibu bapanya.

“Apabila saya membawa ibu saya di dalam pesawat, reaksinya santai sahaja. Tetapi ketika saya terbang bersama bapa saya, dia terkejut apabila kami berdepan dengan angin yang kuat,” cerita Mohd Anaqi yang kini berusia 17 tahun.

RANCANGAN MASA DEPAN

Lesen penerbangan rekreasi sudah berada dalam genggaman. Impian sudah tercapai. Namun, Mohd Anaqi tidak berpuas diri. Sebaliknya, beliau menetapkan azam yang lebih besar.

Mohd Anaqi bercita-cita untuk mengikuti kursus pengurusan penerbangan di Politeknik Temasek atau Politeknik Republik. Beliau juga bekerja sebagai pengiring di Lapangan Terbang Changi untuk membayar balik ibu bapanya yang telah menanggung yuran kursus penerbangannya terlebih dahulu.

“Setiap bulan, saya bayar balik sekitar $200 atau $300 secara ansuran,” kongsi Mohd Anaqi.

Setelah menyelesaikan pengajian dalam bidang pengurusan penerbangan, Mohd Anaqi merancang untuk kembali ke Adelaide pada September tahun ini untuk meningkatkan lagi lesennya.

“Dengan lesen saya sekarang, saya hanya boleh terbang 25 batu nautika di sekitar lapangan terbang dalam lingkungan radiusnya. Jadi saya juga merancang untuk ke Adelaide sekali lagi untuk mendapatkan pengesahan navigasi saya,” kata Mohd Anaqi, merujuk kepada kemampuan untuk terbang dalam jarak yang lebih jauh lagi.

Untuk jangka panjang, Mohd Anaqi juga bercita-cita untuk mendapatkan lesen penerbangan rekreasi untuk terbang di Singapura dan menjadi juruterbang komersial.

“Saya tidak cerewet, mana-mana syarikat penerbangan pun boleh, asalkan saya dapat membawa ibu bapa saya ke luar negara sebagai seorang juruterbang.”

BACA: “Aku nampak isteri naik kereta tu dan tiba-tiba dia call kata balik lambat sebab ada meeting, depan mata aku laki tu turunkan seat yang isteri aku duduk!”