Usahawan dan selebriti terkenal, Shuib Sepahtu, berjaya menang dalam saman fitnah terhadap seorang individu yang dikenali sebagai John Dihani.
Individu tersebut sebelum ini telah menuduh Shuib dengan dakwaan tidak masuk akal di media sosial.
Kes ini telah berjalan selama lima bulan, dan Shuib, atau nama sebenarnya, Shamira Muhamad, mengucapkan rasa syukur kerana isu tersebut telah selesai.
Beliau pertama kali bertemu dengan individu tersebut di Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Walaupun tuduhan yang dilemparkan ke atasnya berkaitan dengan kematian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin, Shuib dengan ikhlas dan profesional memaafkan serta menghalalkan fitnah yang pernah diterima tahun lalu.
Shuib tidak mendedahkan jumlah saman yang diajukan terhadap John, namun beliau menyatakan bahawa semua bayaran yang diterima akan disalurkan sepenuhnya ke Tabung Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa.
“Fitnah kamu, John Dihani, adalah langsung tak berasas dan tak masuk akal! Tetapi atas dasar ikhsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya.
Lihat siaran ini di Instagram
Untuk saman ini, ada jumlah yang perlu dibayar, cuma saya tak boleh jelaskan berapa jumlahnya. Hasil duit saman semua akan disalurkan ke Tabung Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa,” tulis Shuib.
Shuib berharap agar John Dihani dapat mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Beliau juga mendoakan agar lelaki terbabit diberi kemudahan dan supaya kejadian ini menjadi pengajaran untuk semua agar lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial.
“Saya doakan semoga awak dipermudahkan segala urusan dan semoga ini juga menjadi pengajaran pada semua supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial dan jangan suka-suka menabur fitnah tanpa usul periksa. Jangan jadikan fitnah satu perkara normal. Ini bukan budaya kita orang Malaysia,” tegasnya.
Dalam video yang dikongsikan oleh Shuib, John telah membaca permohonan maaf secara terbuka kepada Shuib atas keterlanjuran menulis komen dengan melemparkan tuduhan tidak berasas kepadanya.
Sebelum ini, Shuib telah membuat sidang media dengan mendatangkan salah seorang penulis fitnah di media sosial tersebut. Shuib telah bersedia untuk ‘naik turun’ mahkamah demi membersihkan namanya dan juga allahyarham isteri daripada fitnah yang keterlaluan tersebut.